From Utusan Malaysia, 7 Sept 2012
Oleh DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Pusat Ekonomi Islam dan Kajian Polisi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Pusat Ekonomi Islam dan Kajian Polisi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
BAJET 2013 akan dibentangkan pada 28
September ini. Bajet kali ini berlatar belakangkan antisipasi Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-13 yang dinanti-nantikan pengundi. Sentimen pengundi yang mengharapkan
kedudukan sosioekonomi yang lebih baik dilihat akan terus mendapat keutamaan
dalam bajet kali ini.
Turut melatari bajet kali ini ialah
kedudukan kewangan Kerajaan Pusat. Sudah 15 tahun Kerajaan Pusat membentangkan
bajet defisit. Adalah penting bagi kerajaan untuk menilai kembali kedudukan
pendapatan dan prioriti perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Satu
kerangka transformasi belanjawan perlu dirangka ke arah mewujudkan bajet
seimbang sebelum 2020.
Kedudukan defisit yang telah
berlarutan lebih sedekad tidak boleh dibiarkan. Mengambil kira sensitiviti dan
sentimen global yang semakin meningkat terhadap kedudukan defisit dan hutang
banyak negara, satu langkah merasionalisasikan bajet perlu dibuat. Langkah ini
akan meletakkan asas makroekonomi Malaysia ke arah yang lebih utuh.
Anggaran perbelanjaan operasi negara
bagi 2012 ialah 78 peratus berbanding perbelanjaan pembangunan sebanyak 22
peratus daripada RM232.8 bilion jumlah perbelanjaan pusat.
Untuk memacu negara sebagai sebuah
negara maju, kita berharap agar dalam Bajet 2013, agihan yang lebih besar akan
dibuat untuk perbelanjaan pembangunan manakala perbelanjaan operasi negara
dapat dikurangkan.
Keutamaan untuk meningkatkan
kapasiti modal negara memerlukan peruntukan pembangunan yang lebih besar. Kita
perlu menyediakan Malaysia dengan prasarana dan infrastruktur yang akan menjana
pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kehidupan sosial yang seimbang.
Meskipun maklum akan kedudukan bajet
yang tidak seimbang seperti yang telah dijelaskan, selaku pembayar cukai, kita
tetap mengharapkan agar kadar cukai individu dapat dikurangkan atau lebih
banyak rebet dapat diberi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah.
Pihak syarikat juga mengharapkan
agar cukai syarikat dapat dikurangkan, mengambil kira pelaksanaan gaji minimum
yang terpaksa dibuat.
Untuk bajet kali ini, kita juga
berharap agar kerajaan dapat merangka plan transformasi perumahan negara.
Keadaan dan suasana perumahan di Malaysia perlu dinaik taraf selaras dengan
taraf sebuah negara maju. Ini termasuklah langkah untuk merasionalisasikan
harga rumah yang semakin membebankan terutamanya buat golongan yang baru
bekerja. Pemilikan rumah sebagai - Impian 1Malaysia - perlu menjadi keutamaan.
Kita juga mengharapkan soal
keselamatan dan integriti sosial negara akan mendapat perhatian yang lebih
serius. Isu jenayah dan kebocoran sempadan negara perlu dibendung. Komitmen
kerajaan dalam membanteras rasuah juga perlu terus diperkukuh.
Penerapan nilai kemasyarakatan yang
bersatu-padu dalam memastikan keamanan persekitaran perlu dirangka. Sama ada
soal jenayah dan keselamatan merupakan suatu persepsi atau suatu realiti, usaha
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat perlu mengambil kira
kedua-dua aspek tersebut.
Perkara lain yang menjadi harapan
ramai ialah supaya kos hidup di Malaysia dapat diperbaiki. Selain soal harga
rumah dan harga keperluan asas harian lain, kita menanti dengan penuh harapan
akan Dasar Automotif Nasional 2. Yang kita harapkan ialah pasaran automotif
negara akan lebih kompetitif dengan rakyat dapat membuat pilihan yang pelbagai
pada harga yang lebih rendah.
Juga kita mengharapkan bajet kali
ini akan menjadi asas ke arah transformasi ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan
sahaja polisi industri yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan
dan pemeliharaan sumber alam negara perlu diperjitukan. Kita tidak mahu alam
semula jadi kita rakus diancam oleh perosak tanpa melihat kepada nilai
keasliannya yang tidak ternilai.
Semoga Malaysiaku terus makmur.