Friday, December 16, 2011

Sektor ketiga lengkap transformasi ekonomi

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

KRISIS kewangan dan hutang global menjadikan usaha untuk memacu ekonomi negara menjadi semakin mencabar. Formula baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi perlu dicari. Selama ini, ekonomi Malaysia banyak bergantung dengan peranan aktif yang dimainkan oleh sektor awam dan swasta.

Tekanan kewangan dan hutang yang dihadapi kedua-dua sektor ini, terutama daripada tempias krisis kewangan dan hutang global menuntut kepada suatu transformasi baru dalam model pertumbuhan sosio ekonomi negara.

Penglibatan menyeluruh masyarakat dalam menggerakkan kegiatan sosio ekonomi perlu dirangka. Untuk tujuan ini, sektor ketiga dilihat penting untuk lebih diberi perhatian dan diaktifkan.
Sektor ketiga merupakan sektor voluntari atau sukarela di mana objektif utamanya tidak bersifat mencari keuntungan tetapi lebih kepada membela dan menjaga kebajikan dalam masyarakat.

Sektor ketiga adalah unik kerana keberkesanannya berkait rapat dengan tahap sukarelawan dalam masyarakat. Semakin tinggi penglibatan orang ramai dalam kegiatan sukarela, semakin besar peranan sektor ketiga dalam membina sosio ekonomi sesebuah negara.

Sektor ini biasanya melibatkan kegiatan sukarela seperti dalam penyediaan khidmat sosial, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pelbagai kegiatan lain yang lazimnya terlepas pandang oleh sektor awam dan swasta.

Di negara-negara maju, sektor ketiga aktif melengkapi sektor awam dan swasta. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, peranan sektor ketiga menyumbang kepada 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

Agensi yang terlibat dalam sektor ketiga biasanya merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Berikutan banyaknya organisasi bukan kerajaan seperti ini dengan pelbagai objektif kebajikan yang berbeza, impak sektor ini di Malaysia kurang dirasai meskipun diakui peranannya.

Bagi negara Islam seperti Malaysia, peranan sektor ketiga turut digerakkan dengan elemen-elemen kebajikan yang sentiasa digalakkan dalam Islam. Antaranya, institusi wakaf yang sekarang ini semakin diberi perhatian dalam memastikan kebajikan umat Islam.

Wakaf yang selama ini sering dikaitkan dengan pembinaan masjid dan wakaf tanah untuk kawasan perkuburan adalah sempit.

Wakaf dalam bentuk tunai yang dikumpulkan dan kemudian digunakan untuk membina perniagaan yang dapat menjana keuntungan dan aliran tunai yang baik, dapat memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan memelihara kebajikan.

Usaha transformasi ekonomi negara perlu memastikan peranan sektor ketiga mendapat lebih galakan. Usaha seperti menjalin kesefahaman antara sektor awam, swasta dan sektor ketiga dapat menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik di mana setiap sektor saling melengkapi.

MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi, Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa

Sunday, October 02, 2011

Harapan pada Bajet 2012

Antara agenda besar buat negara bagi bulan Oktober ini ialah pembentangan Bajet 2012. Setiap bajet mempunyai jangkaan pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan bagi sesebuah negara biasanya dating dari hasil kutipan cukai. Perbelanjaan pula boleh dibahagikan kepada dua, perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan.

Antara perkara penting untuk diberi perhatian bagi kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan perlu menilai kembali kedudukan perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Kedudukan perbelanjaan operasi negara mutakhir ini amat besar berbanding perbelanjaan pembangunan.
Bagi Bajet 2010 misalnya, 75% daripada jumlah bajet ialah untuk perbelanjaan operasi. Selaku sebuah negara yang masih berstatus negara membangun, keutamaan atas perbelenjaan pembangunan masih penting. Untuk kekal kompetitif, pembangunan dari aspek meningkatkan kapasiti modal negara adalah mustahak. Perangka polisi perlu mengenalpasti agihan perbelanjaan pembangunan yang strategic buat negara.
Perhatian untuk mengurangkan defisit negara juga penting. Meskipun kadar defisit negara sebanyak 5.4% dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bajet lepas adalah terkawal, namun kedudukan defisit yang telah berlarutan lebih sedekad tidak boleh dibiarkan. Disebabkan para pelabur kini begitu sensitif dengan kedudukan defisit dan hutang banyak negara, sentiment ini begitu sensitif dalam keputusan pelaburan mereka.
Sentimen ini boleh menggugat keyakinan pelabur jika krisis kewangan melanda. Jika kerajaan bertindak awal menyelaraskan kembali defisit ini, Malaysia akan mempunyai kelebihan dari banyak negara dalam asas makroekonominya.
Juga penting dalam bajet kali ini ialah keinginan rakyat untuk melihat taraf kehidupan yang lebih sejahtera diberi keutamaan. Dari sudut ekonomi, ramai yang berharap agar kuasa beli rakyat Malaysia diperkukuh. Justeru, tekanan inflasi perlu dikawal.
Pengenalan gaji minimum yang lebih sistematik dan pelarasan gaji mengikut kadar inflasi beserta peningkatan produktiviti adalah langkah bersepadu yang boleh digerakkan.
Inflasi juga dapat dikawal dengan memastikan kos pengeluaran yang kompetitif. Untuk mencapai objektif ini, langkah lebih serius perlu diambil bagi mencegah ketirisan dalam perbelanjaan negara. Kempen rasuah sifar juga boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kos pengeluaran di Malaysia. Jika amalan tidak sihat ini dapat dibenteras, kos pengeluaran yang lebih rendah dapat dicapai dan harga barang dan perkhidmatan akan lebih rendah.
Rakyat juga mengharapkan kehidupan aman damai dan harmoni (masyarakat penyayang). Tiada erti besar jika KDNK tinggi tetapi rakyat tidak rasa selamat. Peranan klasik kerajaan dalam memastikan undang-undang dipattuhi perlu diberi perhatian. Intergriti agensi kerajaan juga perlu dipertingkatkan.
Juga kita mengharapkan bajet kaliini akan membuka lembaran baru dalam membina model ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan sahaja polisi industri yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan dan pemeliharaan sumber semulajadi negara perlu dirangka. Kita tidak mahu alam semuala jadi kita rakus diperosak tanpa melihat kepada nilai keasliannya yang tidak ternilai.
Juga diharapkan, bajet kemasyarakatan ke arah membina sahsiah insan yang mempunyai nilai sivik tinggi, bekerjasama dan bersikap keushawanan akan dibentangkan. Nilai-nilai ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik.