Oleh: MOHD NAHAR MOHD ARSHAD
KISAH kebangkitan rakyat Jepun dari kemusnahan bom atom yang diledakkan di Hiroshima dan Nagasaki; serta beberapa episod kemusnahan bandar raya mereka akibat gegaran gempa bumi seperti di Kobe menggambarkan betapa keazaman yang jitu mampu merubah sejarah duka sesebuah bangsa.
Dalam tempoh 50 tahun Malaysia merdeka, kita bersyukur kerana negara kita secara amnya selamat dari malapetaka besar. Namun, mutakhir ini, kejadian bencana alam semakin menjadi-jadi dan kita perlu lebih bersedia menghadapinya. Banjir besar yang melanda Johor dan beberapa negeri lain baru-baru ini adalah ujian terbaru buat kita.
Untuk bangkit dari sesuatu kemusnahan berskala besar seperti ini sememangnya cabaran bagi kita semua. Mangsa banjir yang kehilangan segala harta benda dan hanya tinggal sehelai sepinggang perlu memulakan kehidupan bermula dari kosong.
Dalam keadaan kita sudah tiada apa-apa lagi yang tinggal, hanya harapan dapat dijadikan azimat untuk kita kembali bangun. Kesedihan dan tekanan akibat kemusnahan yang menimpa perlu diterima dengan hati yang redha dan lapang agar kita tidak bermuram terlalu lama lantas terlupa untuk bangkit semula.
Biasanya, apabila berlaku sesuatu malapetaka besar, yang kaya boleh jatuh miskin dan yang miskin boleh menjadi lebih miskin. Cuma yang fakir mungkin merasa saksama kerana kini kita semuanya sama sahaja. Lantaran, peluang untuk semua kembali bangun memulakan hidup yang baru.
Mereka yang dahulunya fakir dan miskin wajar melihat bahawa musibah alam ini telah menyebabkan yang kaya turut sama seperti mereka ketika ini. Garis permulaan untuk memulakan kehidupan kini adalah sama. Justeru, berlumbalah kembali secara sihat untuk memajukan diri.
Buat yang kaya, yang mungkin telah jatuh miskin, ini merupakan ujian hebat. Mereka yang diuji dengan ujian yang hebat dan mampu bangkit kembali akan menjadi insan yang lebih hebat dari sebelumnya. Mungkin Tuhan ingin menjadikan kita lebih hebat dari dahulu maka ujian ini dicubanya ke atas kita.
Mereka yang terselamat pula janganlah berdiam diri melihat dari kejauhan. Atau lebih buruk lagi, ada yang cuba mengambil kesempatan. Hakikatnya kini, kita turut diuji sama ada mempunyai hati suci dan murni yang sudi menghulurkan bantuan.
Bantuan walau sekecil mana pun bukanlah tugas kita untuk menilainya. Biarlah kita ikhlas membantu dan menghulurkan tangan. Hati kecil pasti akan puas dan gembira apabila melihat mereka yang ditimpa kesusahan mampu berdiri semula berkat keikhlasan kita berderma.
Ujian kali ini besar maknanya untuk sebuah negara yang sudah 50 tahun merdeka. Kepantasan untuk kita memulihkan segalanya, malah untuk mencipta yang lebih hebat dari yang sebelum ini, bakal mengukur tahap sebenar semangat dan keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka. Maka, semangat merdeka ini jugalah yang kita perlu ada untuk bangkit dari ujian pada kali ini.
Utusan Malaysia, 27 Jan. 2007
Saturday, January 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment