Wednesday, July 26, 2006

Teroka Perniagaan di Internet

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD


INTERNET telah mengubah cara hidup manusia dalam pelbagai aspek. Urusan pejabat, perbankan, perniagaan, penerbitan, pembelajaran dan sebagainya telah menjadi semakin mudah dan pantas kerana Internet.

Sejak adanya kemudahan Internet, ia turut menyediakan banyak peluang buat mereka yang kreatif dan bijak menggunakannya. Perniagaan secara dalam talian (online) misalnya, adalah inovatif baru natijah daripada kewujudan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

Penggunaan Internet yang semakin meluas, kemudahan pembayaran secara talian yang meyakinkan, kepantasan talian jalur lebar dan model perniagaan dotcom yang lebih baik merupakan antara faktor yang menjadikan perniagaan secara talian kembali rancak mutakhir ini.

Perniagaan secara talian pada hakikatnya telah memberikan pasaran baru yang begitu luas, terbuka dan bebas untuk dicuba oleh sesiapa sahaja.

Laman web seperti eBay (www.ebay.com atau www.ebay.com.my) merupakan satu syarikat dotcom gergasi yang menyediakan pasaran bagi mereka yang ingin membeli mahupun menjual apa sahaja di Internet. Di Malaysia, nama Lelong (www.lelong.com.my) adalah contoh syarikat dotcom yang turut menyediakan pasaran kepada sesiapa sahaja untuk membeli dan juga menjual barangan di Internet.

Hakikatnya, telah ramai yang menjadi kaya-raya dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian. The eBay Millionaire oleh Amy Joyner merupakan sebuah buku yang menyingkap rahsia kejayaan mereka yang kini bergelar jutawan dengan menjalankan kegiatan perniagaan mereka di Internet menerusi eBay.

Pada tahun 2004 sahaja, pasaran eBay telah mencatatkan jumlah transaksi jualan yang mencecah nilai AS$34.2 bilion dan angka tersebut dianggarkan akan terus berkembang dengan kadar 45 peratus setahun. Kini dianggarkan terdapat lebih daripada 114 juga eBayers (pengguna eBay) yang aktif.

Peluang yang sama sebenarnya turut terbuka buat kita di Malaysia. Peluang menjalankan perniagaan secara dalam talian bukan sahaja memberikan kesempatan untuk kita menambahkan pendapatan dengan menjalankannya secara sambilan, malah, sudah ramai yang menjalankannya secara sepenuh masa dan meraih pendapatan yang lumayan.

Perniagaan secara dalam talian memerlukan ilmu dan pengetahuan serta pengalaman untuk berjaya.

Generasi muda terutamanya graduan yang menganggur wajar mengambil peluang ini untuk mencipta masa depan yang cemerlang dalam bidang perniagaan. Perniagaan secara maya adalah baik sebagai suatu langkah permulaan. Ini berikutan kos permulaan perniagaan di Internet adalah jauh lebih murah berbanding dengan perniagaan biasa. Di samping itu, jangkauan pasaran juga adalah sangat luas.

from Utusan Malaysia 27 Jul 2006.

Tuesday, July 25, 2006

Strategi urus wang perlu berkesan

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


PENINGKATAN kos sara hidup masa kini menuntut semua pihak memikirkan strategi terbaik bagi menguruskan kewangan masing-masing. Kenaikan kos bahan bakar, tarif utiliti dan bahan keperluan harian telah mengakibatkan penyusutan kuasa beli pengguna. Penyesuaian dan penyelarasan bajet terpaksa dibuat setiap kali berlaku perubahan pada kos sara hidup.

Bagi kebanyakan isi rumah yang berpendapatan kecil dan sederhana, keadaan ini sangat perit untuk dihadapi. Pun begitu, ikhtiar dan jalan penyelesaian masih luas terbuka sekiranya seseorang itu rajin berusaha. Tambahan lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur di mana banyak peluang ekonomi boleh diceburi. Apa yang penting, usaha gigih dan strategi kewangan yang berkesan perlu diatur dan dilaksanakan.

Setiap individu terutamanya orang Melayu perlu bercita-cita untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. Jihad ekonomi individu merupakan permulaan kepada jihad ekonomi bangsa dan negara. Berusaha gigih sahaja tidak memadai. Beberapa strategi tadbir kewangan yang baik mesti diambil.

Strategi pertama yang perlu difikirkan ialah cara untuk meningkatkan lagi pendapatan sedia ada. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membuat pekerjaan sambilan. Selagi pekerjaan sambilan ini tidak mengganggu produktiviti pekerjaan utama, tidak salah untuk seseorang itu menjalankannya.

Seterusnya, setiap peningkatan pendapatan yang diperoleh tidak wajar dibelanja habis. Perbelanjaan perlu dirancang dan matlamat tabungan mesti ditentukan serta disusun agar kehidupan masa hadapan menjadi lebih baik. Perbelanjaan hendaklah dibuat dengan berhemah. Berbelanja secara berhemah tidak bermaksud kita perlu menjadi kedekut. Kita dituntut untuk berbelanja mengikut kemampuan diri dan pada masa yang sama tidak membazir dan berlebih-lebihan.

Perbelanjaan yang dirancang dan disusun dengan baik akan membolehkan kita menabung. Sejumlah wang perlu diperuntukkan bagi tujuan kecemasan. Selain itu, tabungan juga perlu dibuat untuk memenuhi matlamat kehidupan lain seperti untuk menunaikan haji, bagi pendidikan anak, pembelian rumah, melancong dan sebagainya.

Strategi

Berhutang pula perlulah dielakkan meskipun dalam kehidupan moden kini, kebanyakan kita biasanya tidak dapat lari daripada berhutang. Hutang yang banyak akan menjejaskan kecairan tunai pendapatan masa hadapan. Justeru, mempunyai strategi mengawal dan melunaskan hutang dengan efektif adalah sangat penting. Mengamalkan strategi kewangan yang bebas hutang adalah matlamat kewangan yang dapat menjadikan kehidupan lebih bebas dan ceria.

Perancangan kewangan juga perlu mengambil kira soal perlindungan harta kekayaan. Perlindungan insurans adalah penting agar kekayaan dibina tidak lenyap begitu sahaja apabila musibah yang tidak dijangka berlaku.

Selain itu, strategi pelaburan juga perlu ditentukan agar taraf ekonomi terus dipertingkatkan. Setiap pelaburan yang dibuat perlu mengambil kira tahap risiko yang sedia diambil. Biasanya, semakin tinggi risiko yang diambil, semakin tinggi juga pulangan yang bakal diperoleh. Perlu diingat bahawa aktiviti pelaburan adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kekayaan seseorang. Disebabkan ia berisiko, apa yang lebih penting lagi ialah supaya kita tidak menjadi lebih miskin daripada keadaan sebelumnya apabila ghairah membuat pelaburan.

Semua strategi kewangan di atas perlu sentiasa dipantau agar matlamat kewangan yang digariskan akan dapat dicapai. Ke arah itu, perancangan rapi dan disiplin diri adalah sangat penting.

From Utusan Malaysia Jul 25, 2006