Tuesday, June 16, 2009

Masa Hadapan Sektor Perindustrian Malaysia

Oleh
Mohd Nahar Mohd Arshad
University of Tasmania, Australia

Untuk memastikan ekonomi nasional yang kukuh, kita percaya bahawa sektor perkilangan/perindustrian merupakan nadi utama pertumbuhan negara. Namun, dalam soal membina kerjaya masa hadapan, adakah rakyat Malaysia masih melihat sektor perkilangan sebagai sektor utama peluang pekerjaan?

Isu graduan menganggur menimbulkan tanda tanya akan persepsi golongan muda dalam melihat peluang menggilap kerjaya masa hadapan dalam secktor perkilangan. Mungkin tidak ramai graduan melihat sektor perkilangan sebagai pilihan utama semasa mencari kerja. Tanyakan juga, adakah sebagai ibu bapa, kita suka melihat anak kita memulakan kerjaya dalam sektor perkilangan? Adakah kita punya persepsi positif kepada soalan di atas?

Jika kita percaya sektor perkilangan penting dalam menjana ekonomi negara, tetapi terdapat jurang dalam minat mencari dan membina kerjaya dalam sektor tersebut, ini boleh menimbulkan ketidakseimbangan dalam pasaran buruh sektor berkenaan.

Data menunjukkan, gunatenaga dalam sektor perindustrian ialah 36%, perkhidmatan 51% dan pertanian 13%. Jelas bahawa kecenderungan gunatenaga Malaysia lebih kepada sektor perkhidmatan.

Dari segi sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor peindustrian menyumbang sebanyak 44.6%, perkhidmatan 45.7% dan pertanian 9.7%. Nyata sekali bahawa sektor perindustrian mendapat persaingan hebat dari sektor perkhidmatan.

Melihat kepada keadaan di atas, langkah drastik perlu difikirkan agar sektor perkilangan tidak lesu kerana berhadapan dengan masalah gunatenaga. Kita tidak mahu para graduan yang dilahirkan menjauihi sektor perkilangan kerana melihat sektor tersebut tidak menjanjikan kerjaya masa hadapan yang gemilang.

Beberapa sebab boleh menjadi punca kepada situasi ini. Tempat untuk graduan dalam sektor perkilangan mungkin terhad kerana sektor tersebut didominasi oleh industri kecil dan sederhana. Industri ini tidak memerlukan ramai jurutera dan pusat kajian dan penyelidikan (R&D).

Atau adakah kerana sektor perkilangan dan perindustrian kita masih di tahap teknologi rendah? Maksudnya tidak memerlukan pusat R&D yang hebat kerana kebanyakan kilang kita hanya memasang komponen-komponen siap yang diimport. Kilang-kilang hanya memerlukan pekerja berkelayakan sederhana bagi tujuan pemasangan komponen sahaja.

Sektor perkilangan juga berhadapan dengan persaingan global. Negara-negara seperti Vietnam, China dan India kini muncul sebagai hub perindustrian baru dengan kos buruh yang lebih murah.

Untuk kekal kompetitif, upah bekerja di sektor perkilangan nasional tidak mudah dinaikkan. Kilang-kilang multinasional pantas berhijrah mencari tempat pengeluaran yang murah kosnya. Akibat gaji yang kurang menarik, para graduan lantas lebih berminat dengan sektor perkhidmatan.

Sebab seterusnya bolehlah dikaitkan dengan jenis kursus graduan kita yang majoritinya bersifat professional dan perkhidmatan. Ini seperti kursus perakaunan dan pengurusan, undang-undang dan kedoktoran.

Selain itu, kursus sains yang penting buat sektor perkilangan kurang mendapat sambutan kerana kebanyakan graduan menceburi bidang sains sosial.