Friday, January 18, 2008

Episod Mengejar, Dikejar Hutang

KEHIDUPAN pada zaman ini membawa seribu satu cabaran kepada kita. Dalam hidup berkeluarga, tuntutan keperluan dan kehendak dalam mengecapi nikmat hidup seperti yang dinikmati oleh orang lain ada kalanya memaksa kita untuk berhutang.
Kita berhutang untuk membeli rumah, kenderaan, perabot, pakaian, pelajaran dan untuk segala perkara yang asalkan ia boleh dihutangi. Sering kita tidak sempat memikirkan, sama ada kita mampu membayar ataupun tidak, kerana yang penting bagi kita ialah untuk mencapai segala yang diingini dengan segera. Berhutang memungkinkan segalanya. Soal bayaran merupakan perkara kemudian.
Sukar kita percaya jika ada seseorang yang mendakwa yang dia tidak mempunyai hutang. Kaya atau miskin, kedua-dua golongan ini mudah terjerat dalam kancah belenggu hutang.
Si kaya merupakan golongan yang paling senang berhutang kerana pemiutang (terutamanya institusi kewangan) tahu bahawa golongan ini mampu menjelaskan hutang berserta faedahnya tanpa banyak masalah.
Golongan ini biasanya ditawarkan pelbagai akses kemudahan kredit seperti overdraf, kad caj dan pelbagai lagi. Bagi institusi kewangan, golongan ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa hutang kerana mereka merupakan lubuk utama perolehan pendapatan institusi kewangan.
Buat si miskin, golongan ini berhutang kerana desakan hidup. Mereka biasanya sangat-sangat memerlukan akses untuk kredit, tetapi sering sukar mendapat hutang kerana persepsi bakal si pemiutang yang kurang meyakini akan kemampuan bayar balik si miskin.
Di sini jelas wujudnya diskriminasi berdasarkan status. Si kaya yang sepatutnya tidak memerlukan hutang terus disogok dan dihulur dengan pelbagai kemudahan kredit/hutang. Kadangkala golongan ini tidak perlu memohon, sebaliknya mereka dirayu agar membuat hutang.
Sebaliknya, si miskin yang melarat dinafi pula keperluan untuk mendapatkan akses kredit. Mereka tidak dilayan kerana golongan ini dilihat berisiko tinggi tidak dapat melunaskan bayaran hutang kelak.
Prejudis ini wujud berikutan sikap institusi kewangan yang terlalu memikirkan soal untung. Hal kemanusiaan bukanlah pertimbangan utama institusi kewangan.
Dalam kedua-dua gambaran yang dibincangkan ini, jelas kepada kita bahawa kedua-dua golongan tetap akan tersepit dan terjebak dalam kancah hutang.
Si kaya yang terus disogok dengan hutang pasti akan terus-menerus berhutang. Manakala si miskin pula, meskipun sukar mendapatkan hutang daripada institusi kewangan, mereka tetap akan berhutang dari sumber-sumber lain seperti kawan atau Ah Long.
Lantaran dek kemiskinan, mereka akan lebih terjerat dengan beban hutang terutamanya jika kadar riba yang dikenakan adalah tinggi.
Begitulah hakikat kehidupan pada masa kini. Hutang mengejar kita atau kita juga mengejar hutang.
Dalam episod kejar-mengejar ini, si penghutang biasanya senang tersungkur. Ada kalanya si pemiutang juga boleh tersungkur seperti apa yang sedang berlaku di Amerika Syarikat dalam kancah kredit subprima sekarang.

Published in Utusan Malaysia, Jan 19, 2008