Friday, September 29, 2006

Luaskan ekonomi Melayu

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ASHAD


ISU kedudukan orang Melayu di tanah air sendiri tidak pernah lekang daripada topik politik, ekonomi dan sosial negara. Perkara ini penting terutamanya dalam konteks kesaksamaan sosial dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Kesaksamaan dalam agihan kekayaan misalnya adalah sangat penting bagi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi di Malaysia. Atas dasar inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan pada tahun 1970 dengan menyasarkan penguasaan 30 peratus ekonomi oleh bumiputera.

Hakikatnya, orang Melayu perlu bangkit dalam memperjuangkan jihad ekonomi bangsanya. Peningkatan taraf ekonomi orang Melayu adalah kritikal dalam usaha untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini. Selain itu, peningkatan taraf ekonomi bangsa Melayu turut dilihat dapat mengurangkan perbezaan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Ini kerana, masih ramai orang Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar.

Realitinya, tahap pencapaian orang Melayu telah banyak berubah jika dibandingkan keadaan mereka sebelum DEB. Pun begitu, bangsa lain turut sama berubah dan perubahan mereka adalah lebih pantas. Ini menjadikan mereka lebih mendahului perubahan dan pencapaian orang Melayu.

Apa yang penting sekarang, orang Melayu perlu lebih gigih berusaha untuk memajukan diri dan menggandakan pencapaian sedia ada. Untuk menjadi maju di tanah air sendiri, orang Melayu perlu progresif. Jika bangsa lain bergerak lima langkah, bangsa Melayu perlu bergerak 10 langkah atau lebih ke hadapan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyamai dan seterusnya mendahului pencapaian bangsa lain.

Pelbagai peluang dan kesempatan sedia wujud di bumi bertuah ini. Bak kata pepatah, ‘perahu sudah di air dan dayung sudah di tangan’. Hanya niat, iltizam dan usaha berkali ganda diperlukan untuk bangsa Melayu bergerak maju.

Dekad yang mendatang bakal membawa cabaran yang lebih besar. Persaingan bukan sahaja perlu dilihat dari konteks domestik, malah cabaran buat orang Melayu di peringkat global adalah lebih besar lagi.

Untuk itu, orang Melayu perlu berjuang berhabis hati untuk memajukan diri. Orang Melayu perlu mencipta peluang sendiri dan membuka peluang kepada bangsanya untuk sama-sama maju. Jika Melayu masih bergantung kepada peluang yang dicipta oleh orang lain, isu tidak mendapat peluang pekerjaan akibat tidak menguasai bahasa Mandarin misalnya, akan terus menjadi batas halangan kemajuan bangsa.

Orang Melayu juga perlu merebut segala peluang yang ada. Contohnya, potensi orang Melayu untuk maju ke peringkat dunia dalam industri produk halal adalah sangat besar. Yang penting, orang Melayu perlu belajar mengambil risiko dan teknik perniagaan yang terurus bagi mencapai matlamat ini.

Pada masa yang sama, profesional Melayu perlu menabur bakti memajukan generasi baru Melayu. Mereka merupakan model kejayaan bangsa dan bimbingan mereka sangat-sangat diperlukan. Sikap tamak, cemburu dan mementingkan diri sendiri perlu dikikis jika orang Melayu ingin melihat bangsanya maju dan berdaulat di tanah air sendiri.


From Utusan Malaysia on Sept 28, 2006

Thursday, September 21, 2006

Kukuhkan jenama tingkatkan persaingan

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


PERSAINGAN dunia perniagaan semakin sengit dewasa ini. Indeks persaingan perniagaan yang terkini menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tangga ke-23 dalam senarai tersebut.

Ini menunjukkan bahawa masih banyak perkara yang perlu kita lakukan dan perbaiki untuk meningkatkan tahap persaingan negara di peringkat global.

Kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai insentif yang menarik bagi menggalakkan penglibatan para pelabur dari dalam mahupun luar negara dalam bidang perniagaan. Hakikatnya, persaingan global dunia perniagaan menyaksikan bagaimana benua Asia kini menjadi enjin dalam menjana pertumbuhan ekonomi dunia. Pasaran yang wujud di China, India, ASEAN, Jepun dan Korea Selatan menyediakan wadah baru untuk pertumbuhan ekonomi dunia.

Syarikat-syarikat multinasional melihat Asia sebagai pasaran baru yang menarik. Ada beberapa sebab yang menjadikan Asia semakin penting kepada ekonomi dunia.

Antaranya, kuasa beli penduduk Asia telah menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa dekad lalu. Asia juga mempunyai kelebihan dari segi sumber-sumber ekonomi yang banyak. Tambahan pula, produktiviti di Asia juga meningkat dengan ketara dan ini banyak disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan di Asia. Selain itu, kos perniagaan di Asia juga secara relatifnya agak murah berbanding tempat-tempat lain di dunia.

Semua ini menjadikan intensiti persaingan di Asia semakin hebat.

Selain persaingan daripada multinasional luar, ia juga datang daripada kalangan syarikat-syarikat gergasi Asia sendiri. Ini menuntut strategi perniagaan yang berkesan oleh syarikat-syarikat Asia yang sekian lama lebih tradisional dalam pendekatan perniagaannya. Winning in Asia: Strategies for Competing in the New Millennium oleh Peter J. Williamson menjelaskan betapa syarikat-syarikat Asia perlu bangkit dan mempertingkatkan keupayaan persaingan perniagaan untuk berjaya di pentas global. Pastinya perkara ini tidak terkecuali kepada syarikat-syarikat di Malaysia.

Untuk ampuh bersaing, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah mempertingkatkan lagi kedudukan jenama barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan. Ke arah itu, kualiti barangan dan perkhidmatan merupakan suatu perkara yang mesti dititikberatkan. Pengukuhan jenama hanya wujud setelah faktor kualiti ditekankan.

Ini dapat dilihat dalam konteks pengukuhan jenama barangan dari Jepun. Suatu ketika dahulu, slogan made in Japan merupakan sesuatu yang dicari oleh pembeli.

Yang pasti, jenama yang mantap sangat penting dalam konteks persaingan global masa kini. Ini kerana, rata-rata produk adalah sama tetapi jenamalah sesuatu yang dapat membezakannya dengan produk lain. Kesetiaan pembeli juga ada kaitan dengan faktor jenama.

Syarikat-syarikat di Malaysia perlu melihat soal pengukuhan jenama sebagai suatu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Malangnya, masih banyak yang melihat perkara ini sebagai suatu kos kepada syarikat. Sikap ini dikhuatiri akan mengakibatkan barangan kita hilang daya saing untuk jangka masa panjang.

From Utusan Malaysia on 22 Sept. 2006

Monday, September 04, 2006

Bajet 2007 – usaha pacu ekonomi

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

HARI ini Perdana Menteri membentangkan Bajet 2007 iaitu selepas sambutan Hari Kebangsaan Ke-49 berlangsung dengan meriah semalam. Rentetan dua peristiwa penting ini membawa makna yang tersendiri iaitu bagaimana kita mengisi erti kemerdekaan negara.

Kemerdekaan memberikan kebebasan kepada kita untuk mencorakkan masa depan negara sendiri. Dalam hal ini, kesempatan merancang pertumbuhan ekonomi negara merupakan suatu nikmat kemerdekaan yang besar. Sememangnya kita berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.

Perlu kita sedar bahawa usaha penjajahan dalam bentuk penguasaan ekonomi boleh berlaku di pelbagai peringkat. Terjebak dalam kancah hutang merupakan contoh jelas bagaimana kemerdekaan ekonomi boleh terjejas.

Ekonomi global yang semakin liberal dan kompetitif menuntut kita untuk lebih berhati-hati dalam mencorakkan masa depan negara. Kewujudan blok-blok perdagangan menuntut setiap negara untuk lebih liberal dalam polisi perdagangan. Negara berdaulat kadang-kala tersepit dalam dilema kepentingan nasional dan tekanan pasaran antarabangsa.

Keadaan ini memerlukan kita supaya bijak dalam memelihara kedaulatan negara agar kebebasan ekonomi dapat terus dipelihara. Ini adalah penting demi memastikan pengisian kemerdekaan yang sebenarnya dapat kita laksanakan mengikut acuan kita sendiri.

Malah, usaha untuk mempertahankan kebebasan ini adalah lebih kritikal. Ini pastinya menuntut perancangan yang teliti dan rapi.

Antaranya, kita tidak seharusnya terlalu terikat atau bergantung kepada sesebuah negara untuk sumber-sumber ekonomi yang penting. Kita perlu mempunyai sumber dalaman yang mencukupi untuk meneruskan agenda nasional meskipun tanpa bantuan luar. Pada masa yang sama, kita juga perlu meningkatkan daya kompetitif negara dan terus progresif.

Merealisasikan kemerdekaan dalam bentuk kejayaan ekonomi juga menuntut usaha pembangunan ekonomi yang adil dan saksama. Hanya dengan ini kek ekonomi negara akan dapat dikecapi oleh setiap golongan rakyat.

Pembahagian kek ekonomi yang tidak adil akan menyebabkan erti kemerdekaan sebenar tidak dapat dihargai oleh sesetengah pihak. Golongan miskin dan daif misalnya, mungkin merasakan bahawa mereka terpinggir oleh arus pembangunan sekiranya isu keadilan ekonomi tidak ditangani.

Pengertian kemerdekaan juga dapat dinilai dari aspek kestabilan ekonomi sesebuah negara. Kestabilan ekonomi memberikan rakyat peluang untuk meneroka potensi diri masing-masing menerusi peluang yang wujud. Ini memberikan kita kebebasan untuk memajukan diri sendiri.

Kestabilan ekonomi juga dapat dikecapi dengan adanya kestabilan harga barangan. Kadar inflasi yang rendah memastikan nilai benar kekayaan dapat dipelihara. Kadar inflasi yang tinggi pula akan ‘merampas’ kekayaan rakyat dan bukanlah merdeka namanya apabila kekayaan kita ‘dirampas’ oleh keadaan ini.

Setiap warga Malaysia sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Malaysia. Kita bertuah kerana kita bebas untuk mencorakkan masa depan negara.

From Utusan Malaysia on Sept. 1, 2006