Wednesday, June 14, 2006

Pembahagian Kekayaan Saksama dalam RMK-9

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Keadilan dalam pembahagian kekayaan merupakan satu perkara penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Perkara ini lebih kritikal dalam konteks masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu insiden pahit negara akibat dari keadaan ekonomi yang tidak seimbang. Keberkesanan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanankan tidak lama selepas insiden tersebut sedikit sebanyak berjaya mengurangkan perbezaan ekonomi antara kaum di negara ini. Pun begitu, Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) yang telah dibentangkan baru-baru ini sekali lagi menekankan pentingnya buat kita untuk terus menguruskan isu agihan kekayaan ini secara berhemah dan bijaksana.

Isu pembahagian kekayaan merupakan satu perkara yang memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Ketidakpuasan hati antara kaum mungkin timbul sekiranya perkara ini gagal dirancang dan diuruskan dengan baik.

Isu pembahagian kek ekonomi sebenarnya berkait rapat dengan sistem ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah negara. Ini kerana setiap sistem ekonomi mempunya definasi dan cara yang tersendiri dalam hal pembahagian kekayaan.

Sistem ekonomi kapitalis sebagai contoh, lebih mengutamakan pembahagian kekayaan berdasarkan fungsi atau peranan seseorang dalam sistem tersebut. Mereka yang tidak berperanan atau tidak produktif, biasanya akan terpinggir dalam sistem ini. Keadaan ini telah mewujudkan satu jurang pendapatan yang ketara antara si miskin dan si kaya. Bukan setakat di peringkat isi rumah sahaja, kesan buruk sistem kapitalis juga telah mewujudkan jurang antara negara-negara di dunia di mana ada negara kaya dan negara miskin.

Sistem ekonomi sosialis sebaliknya melihat isu keadilan dalam pembahagian kekayaan dalam konteks kesamarataan dalam pembahagian kek ekonomi. Keruntuhan sistem ini antara lain disebabkan oleh kegagalannya mengiktiraf sumbangan seseorang yang produktif, kreatif dan inovatif dalam sistem tersebut. Pekerja yang rajin pasti akan kecewa apabila pulangan yang diperolehi adalah sama dengan pekerja yang sering curi tulang. Kaedah kesamarataan dalam pembahagian kekayaan ini nyata membunuh motivasi mereka yang produktif dan gagal mengiktiraf perbezaan keupayaan dan kemampuan setiap individu.

Dalam konteks ekonomi Islam, antara objektif utama pengagihan kekayaan ialah untuk memastikan keperluan asasi setiap rakyat dipenuhi. Selain itu, pembahagian kek ekonomi yang saksama (bukan pembahagian samarata) turut ditekankan. Ini supaya tidak wujud jurang kekayaan yang besar dalam masyarakat. Objektif-objektif di atas adalah juga menjadi matlamat dalam usaha pembangunan Malaysia yang adil dan saksama seperti yang telah dan sedang dijalankan sekarang.

Mengapa kesaksamaan dan bukan kesamarataan? Ini kerana telah menjadi fitrah kejadian manusia di mana kita dijadikan berbeza-beza. Perbezaan ini tidak memungkinkan kekayaan mesti dibahagikan secara sama rata kerana perbezaan kemampuan dan keupayaan pasti menghasilkan keputusan yang tidak sama.

Keadaan ini juga menyebabkan ada di antara kita mendapat kedudukan yang lebih tinggi dari yang lain. Sebagai contoh, hubungan antara pemerintah-rakyat dan majikan-pekerja. Semua ini adalah fitrah dalam kehidupan dan ia merupakan satu ujian dari Allah swt sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu…(Al-An’am:165)

Islam juga menyarankan agar penganutnya rajin bekerja bagi mendapatkan rezeki yang halal kerana sistem ekonominya mengiktiraf pembahagian kekayaan berdasarkan peranan atau fungsi seseorang dalam ekonomi. Ini selaras dengan firman Allah dalam al-Quran: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (An-Nisaa:32).

Selain mengiktiraf kekayaan yang diperolehi dari fungis yang dimainkan seseorang dalam sesebuah ekonomi, pembahagian kekayaan dalam Islam turut mengambil kira isu keperluan asasi. Ini adalah berasaskan prinsip kebajikan.

Islam mengambil berat kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan tidak mampu bekerja untuk mendapatkan pendapatan sendiri. Kewajiban untuk mengeluarkan zakat, membahagikan harta pusaka, anjuran supaya bersedekah, mewakafkan harta, mengerjakan korban dan banyak lagi adalah mekanisme pengagihan kekayaan dalam Islam dari golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada dan tidak bernasib baik.

Kita juga perlu sedar bahawa tidak kesemua harta yang kita perolehi itu adalah hak kita. Ini kerana, pada harta tersebut, terdapat bahagian orang lain seperti mana diterangkan dalam al-Quran: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum (Al-Ma’arij:24).

Malahan, kesemua perkara di atas sebenarnya dapat memupuk sifat kasih saying, tolong-menolong dan prihatin dengan keadaan sekeliling terutamanya bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik. Semua ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. Sabda Rasulullah saw: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila memberikan nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahala darinya, maka nafkahnya itu dikira sebagai sedekah (Muslim).

Jelaslah bahawa dalam sistem ekonomi islam, usaha memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan diuruskan dengan mengambil kira aspek kemanusiaan dan ekonomi. Nilai kemanusiaan sentiasa dipupuk, dibaja dan dipelihara. Pada masa yang sama, masalah ekonomi yang berkaitan dengan perbezaan jurang pendapatan, keperluan asasi dan kemiskinan turut diselesaikan. RMK-9 dilihat mempunyai ciri-ciri tersebut dan bagi mencapai semua itu, setiap kita perlu berusaha dengan gigih bagi memperbaiki nilai diri dan produktiviti. Sikap untuk terus bergantung harap pada subsidi, bantuan dan sebagainya perlu dikikis. Budaya ingin terus maju dan gigih berusaha mesti menjadi budaya baru kita semua.

Jihad Ekonomi Orang Melayu

Oleh

Mohd Nahar Mohd Ashad


Misi Nasional untuk meningkatkan martabat ekonomi orang Melayu sekali lagi dilaungkan oleh Perdana Menteri. Bermula dari Perdana Menteri yang pertama sehinggalah kini, orang Melayu sentiasa diingatkan akan kepentingan jihad ekonomi.

Perkara ini penting terutamanya dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Kesaksamaan pembahagian kek ekonomi perlu bagi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi. Atas dasar inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan pada tahun 1970 dengan mensasarkan penguasaan 30 peratus ekonomi oleh Bumiputra.

Untuk mencapai matlamat tersebut, orang Melayu perlu bangkit mengubah nasib kaumnya. Allah berfirman: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri – Ar Ra’d:11.

Jihad ekonomi bangsa Melayu juga penting dalam usaha mengurangkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini. Selain itu, peningkatan taraf ekonomi bangsa Melayu turut dilihat dapat mengurangkan perbezaan jurang pendapatan bandar dan luar bandar berikutan kebanyakan orang Melayu masih ramai tinggal di kawasan luar bandar.

Hakikatnya, bangsa Melayu telah banyak berubah jika dibandingkan keadaan mereka sebelum DEB. Pun begitu, bangsa lain turut sama berubah dan mungkin perubahan mereka lebih mendahului perubahan dan pencapaian orang Melayu. Keadaan ini membuatkan perbezaan pencapaian ekonomi antara kaum terus dirasai.

Lantaran itu, apa yang penting sekarang ialah supaya bangsa Melayu terus berusaha untuk memajukan diri dan menggandakan pencapaian sedia ada. Untuk menjadi maju di tanah air sendiri, orang Melayu perlu progresif. Jika bangsa lain bergerak lima langkah, bangsa Melayu perlu bergerak 10 langkah atau lebih ke hadapan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyamai dan seterusnya mendahului pencapaian bangsa lain.

Apa yang pasti, bangsa Melayu sudah mempunyai pelbagai kemudahan dan kebolehan. Bak kata pepatah, “perahu sudah di air dan dayung sudah di tangan”. Hanya niat, iltizam dan usaha berkali ganda diperlukan untuk bangsa Melayu bergerak maju.

Dekad yang mendatang bakal membawa cabaran yang lebih besar. Persaingan bukan sahaja perlu dilihat dari konteks domestik, malah cabaran buat orang Melayu di peringkat global adalah lebih besar lagi.

Untuk itu, orang Melayu perlu berjuang berhabis hati untuk memajukan diri. Orang Melayu perlu mencipta peluang sendiri dan membuka peluang kepada bangsanya untuk sama-sama maju. Jika Melayu masih bergantung kepada peluang yang dicipta oleh orang lain, isu tidak mendapat peluang pekerjaan akibat tidak menguasai bahasa Mandarin misalnya, akan terus menjadi batas halangan kemajuan bangsa.

Orang Melayu juga perlu merebut segala peluang yang ada. Contohnya, potensi orang Melayu untuk maju ke peringkat dunia dalam industri produk halal adalah sangat besar. Yang penting, orang Melayu perlu belajar mengambil risiko dan teknik perniagaan yang terurus bagi mencapai matlamat ini.

Pada masa yang sama, profesional Melayu perlu menabur bakti memajukan generasi baru Melayu. Mereka merupakan model kejayaan bangsa dan bimbingan mereka sangat-sangat diperlukan. Sikap tamak, cemburu dan mementingkan diri sendiri perlu dikikis jika orang Melayu ingin melihat bangsanya maju dan berdaulat di tanah air sendiri.

Mengurangkan Jurang Pendapatan

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Untuk memastikan kekayaan negara dapat dikecapi secara adil dan saksama, usaha untuk merapatkan jurang pendapatan sentiasa menjadi agenda utama negara. Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menjadi titik tolak kepada perlaksanaan dasar yang lebih efektif bagi mencapai hasrat tersebut.

Kini dikatakan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar kian melebar iaitu pada nisbah 1:211 bagi tahun 2004. Menyedari akan hakikat ini, kerajaan telah meletakkan sasaran bagi mengurangkan nisbahnya kepada 1:2 menjelang 2010. Sasaran ini tidak akan mampu dicapai sekiranya hanya pihak kerajaan sahaja yang serius bagi mencapai matlamat tersebut.

Usaha bersepadu dari semua pihak terutamanya dari penduduk luar bandar sendiri sangat penting untuk merialisasikannya.

Untuk mencapai matlamat tersebut, penduduk luar bandar perlu menggiatkan usaha bagi mengukuh dan mempelbagaikan lagi kegiatan ekonomi mereka. Menjalankan industri kecil dan sederhana adalah antara langkah yang dapat dijalankan. Sektor agro pelancongan juga menjanjikan pulangan yang lumayan untuk diceburi.

Secara amnya, rata-rata penduduk luar bandar terlibat dalam kegiatan pertanian. Pulangan pendapatan berdasarkan sektor menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan dan perindustrian menjanjikan pulangan yang lebih baik berbanding sektor pertanian.

Namun, perkara ini akan dapat diperbaiki sekiranya kaedah pertanian yang lebih produktif dapat diusahakan. Usaha serius kerajaan untuk memperkasakan sektor pertanian dilihat mempunyai objektif serampang dua mata iaitu bagi meningkatkan sumbangan sektor tani kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan juga bagi merapatkan jurang pendapatan bandar dan luar bandar.

Tidak dapat tidak, kaedah pertanian moden dan berskala besar perlu diambil bagi tujuan ini. Ini memerlukan kaedah pengurusan tani yang sistematik. Di sinilah kesediaan para siswazah untuk pulang ke kampung dan melibatkan diri dalam bidang tani akan mempercepatkan lagi proses modenisasi sektor tani kerana mereka merupakan golongan yang berilmu dan terlatih.

Laporan yang menyatakann bahawa 80 peratus dari 800 000 petani berusia lebih 60 tahun jelas menunjukkan betapa perlunya penglinatan golongan muda diserap ke sektor ini. Ini bukan sahaja bertujuan untuk meneruskan kesinambungan usaha pertanian kampung, malah bertujuan untuk membawa suatu revolusi tani yang mampu menjadikan sektor tani berdiri sama tinggi dengan sektor perkhidmatan dan perindustrian di negara kita.

Selain itu, usaha mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar memerlukan fokus kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan juga Sabah dan Sarawak. Ini kerana negeri-negeri ini mempunyai kawasan tani dan luar bandar yang luas. Jurang pendapatan berdasarkan negeri jelas menunjukkan bahawa negeri-negeri Pantai Barat mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berikutan kegiatan ekonomi negeri-negeri tersebut lebih kepada sektor perkhidmatan dan perindustrian.

Kaedah membawa proses urbanisasi ke kwasan luar bandar bagi menggalakkan kegiatan ekonomi kawasan tersebut dilihat bukanlah langkah terbaik bagi merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Langkah ini boleh membawa kepada pengurangan kawasan tani negara selain menimbulkan isu-isu alam sekitar dan isu rizab tanah Melayu.

Yang pasti, matlamat mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar juga akan melibatkan golongan Bumiputra kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan luar bandar. Bumiputra seharusnya merebut peluang ini agar matlamat dan sasaran asal DEB mampu dicapai.

Penyelesaian Jurang Kekayaan yang Melebar

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Usaha untuk mengurangkan jurang kekayaan merupakan suatu agenda berterusan yang perlu sentiasa diambil berat. Perkara ini menjadi lebih penting terutamanya dalam konteks negara berbilang bangsa seperti Malaysia. Lantaran itu, dalam setiap agenda pembangunan sosio-ekonomi negara, perkara ini tidak pernah diabaikan.

Dewasa ini, persoalan jurang kekayaan yang kian melebar merupakan suatu isu global. Bank Dunia misalnya, mempunyai motto untuk mewujudkan dunia yang bebas dari kemiskinan (Working for a World Free of Poverty). Hakikatnya, matlamat motto tersebut terlalu jauh untuk dicapai. Masalah kebuluran yang melanda beberapa negara merupakan tragedi kemanusiaan yang terburuk dalam sejarah dunia di mana pada masa yang sama, sebahagian penduduk dunia hidup dalam kemewahan.

Menyorot kepada penyelesaian permasalahan ini, isu jurang kekayaan memerlukan pendekatan yang holistik. Kaedah radikal yang dibawa oleh Karl Marx dalam sistem ekonomi perancangan pusat yang membahagikan kekayaan secara sama rata, ternyata gagal. Sistem ekonomi kapitalis pula dilihat sebagai penyebab kepada wujudnya perbezaan jurang kekayaan pada masa kini.

Justeru itu, alternatif terbaik seharusnya disingkap dalam ajaran Islam yang merupakan satu agama yang lengkap dan harmoni. Kejayaan Islam membawa penyelesaian kepada permasalahan ini terbukti dengan lupusnya amalan hamba abdi di Semenanjung Arab setelah beberapa tahun kedatangan Islam. Lebih menarik lagi, kaedah yang diambil Rasulullah SAW terlaksana tanpa sebarang konflik sisio-ekonomi. Ini berbeza dengan pendekatan Abraham Lincoln yang berusaha memansuhkan amalan hamba abdi di Amerika tetapi berkesudahan dengan konflik sosio-ekonomi yang parah.

Sebenarnya, agenda mengurangkan jurang kekayaan bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan. Individu dan masyarakat sebenarnya memainkan peranan yang sama penting.

Keprihatinan individu dan masyarakat terhadap mereka yang kurang bernasib baik menjadi inti pati kepada pencapaian matlamat ini. Dengan wujudnya masyarakat penyayang, isu agihan kekayaan akan dapat dikurangkan. Nilai-nilai positif seperti rasa kasih sayang, prihatin, bantu-membantu dan persaudaraan merupakan nilai-nilai mulia yang dapat membantu dalam merialisasikan objektif ini.

Dengan nilai-nilai mulia seperti inilah perasaan untuk beramal jariah seperti memberi zakat, sedekah, wakaf, derma dan sebagainya akan mekar dalam sesebuah masyarakat. Pemupukan nilai-nilai mulia ini bukanlah asing dalam ajaran Islam kerana semua ini telah terkandung sebagai cara hidup Islam yang tinggi.

Selain itu, Islam juga memberi penyelesaian kepada isu jurang kekayaan yang melebar dengan melarang aktiviti-aktiviti yang mempunyai elemen-elemen ketidakadilan dalam sosio-ekonomi.

Pengharaman riba, judi, rasuah, mencuri, menipu, menyorok barang dan sebagainya adalah ditegah. Ini kerana, semua aktiviti ini membawa implikasi sosial dan ekonomi yang berat sebelah, bersifat diskriminasi dan tidak adil.

Islam juga mendekati permasalahan ini dengan menyediakan institusi pasaran yang adil dan harmoni. Agihan kekayaan yang saksama dicapai dengan memastikan institusi pasaran berjalan dalam suasana harmoni bermula dari peringkat agihan sumber-sumber ekonomi; kepada peringkat pengeluaran dan sehinggalah ke peringkat pasca pengeluaran. Institusi pasaran yang adil adalah penting kerana di sinilah pengiktirafan ke atas setiap usaha gigih yang dijalankan akan diperolehi. Secara mudah, mereka yang rajin berusaha akan mendapat habuan lebih dari mereka yang malas berusaha. Namun, pada masa yang sama, Islam turut menekankan agar mereka yang berjaya tidak melupakan mereka yang gagal dan tidak bernasib baik..

Jelas bahawa isu agihan kekayaan yang adil merupakan isu kompleks yang memerlukan sebuah sistem yang baik, pengawasan yang efektif dan tingkah-laku agen-agen ekonomi yang berasaskan nilai-nilai murni.