Wednesday, June 14, 2006

Pembahagian Kekayaan Saksama dalam RMK-9

Oleh

Mohd Nahar Mohd Arshad
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Keadilan dalam pembahagian kekayaan merupakan satu perkara penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Perkara ini lebih kritikal dalam konteks masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia. Tragedi 13 Mei 1969 merupakan satu insiden pahit negara akibat dari keadaan ekonomi yang tidak seimbang. Keberkesanan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanankan tidak lama selepas insiden tersebut sedikit sebanyak berjaya mengurangkan perbezaan ekonomi antara kaum di negara ini. Pun begitu, Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) yang telah dibentangkan baru-baru ini sekali lagi menekankan pentingnya buat kita untuk terus menguruskan isu agihan kekayaan ini secara berhemah dan bijaksana.

Isu pembahagian kekayaan merupakan satu perkara yang memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Ketidakpuasan hati antara kaum mungkin timbul sekiranya perkara ini gagal dirancang dan diuruskan dengan baik.

Isu pembahagian kek ekonomi sebenarnya berkait rapat dengan sistem ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah negara. Ini kerana setiap sistem ekonomi mempunya definasi dan cara yang tersendiri dalam hal pembahagian kekayaan.

Sistem ekonomi kapitalis sebagai contoh, lebih mengutamakan pembahagian kekayaan berdasarkan fungsi atau peranan seseorang dalam sistem tersebut. Mereka yang tidak berperanan atau tidak produktif, biasanya akan terpinggir dalam sistem ini. Keadaan ini telah mewujudkan satu jurang pendapatan yang ketara antara si miskin dan si kaya. Bukan setakat di peringkat isi rumah sahaja, kesan buruk sistem kapitalis juga telah mewujudkan jurang antara negara-negara di dunia di mana ada negara kaya dan negara miskin.

Sistem ekonomi sosialis sebaliknya melihat isu keadilan dalam pembahagian kekayaan dalam konteks kesamarataan dalam pembahagian kek ekonomi. Keruntuhan sistem ini antara lain disebabkan oleh kegagalannya mengiktiraf sumbangan seseorang yang produktif, kreatif dan inovatif dalam sistem tersebut. Pekerja yang rajin pasti akan kecewa apabila pulangan yang diperolehi adalah sama dengan pekerja yang sering curi tulang. Kaedah kesamarataan dalam pembahagian kekayaan ini nyata membunuh motivasi mereka yang produktif dan gagal mengiktiraf perbezaan keupayaan dan kemampuan setiap individu.

Dalam konteks ekonomi Islam, antara objektif utama pengagihan kekayaan ialah untuk memastikan keperluan asasi setiap rakyat dipenuhi. Selain itu, pembahagian kek ekonomi yang saksama (bukan pembahagian samarata) turut ditekankan. Ini supaya tidak wujud jurang kekayaan yang besar dalam masyarakat. Objektif-objektif di atas adalah juga menjadi matlamat dalam usaha pembangunan Malaysia yang adil dan saksama seperti yang telah dan sedang dijalankan sekarang.

Mengapa kesaksamaan dan bukan kesamarataan? Ini kerana telah menjadi fitrah kejadian manusia di mana kita dijadikan berbeza-beza. Perbezaan ini tidak memungkinkan kekayaan mesti dibahagikan secara sama rata kerana perbezaan kemampuan dan keupayaan pasti menghasilkan keputusan yang tidak sama.

Keadaan ini juga menyebabkan ada di antara kita mendapat kedudukan yang lebih tinggi dari yang lain. Sebagai contoh, hubungan antara pemerintah-rakyat dan majikan-pekerja. Semua ini adalah fitrah dalam kehidupan dan ia merupakan satu ujian dari Allah swt sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran: Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu…(Al-An’am:165)

Islam juga menyarankan agar penganutnya rajin bekerja bagi mendapatkan rezeki yang halal kerana sistem ekonominya mengiktiraf pembahagian kekayaan berdasarkan peranan atau fungsi seseorang dalam ekonomi. Ini selaras dengan firman Allah dalam al-Quran: Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (An-Nisaa:32).

Selain mengiktiraf kekayaan yang diperolehi dari fungis yang dimainkan seseorang dalam sesebuah ekonomi, pembahagian kekayaan dalam Islam turut mengambil kira isu keperluan asasi. Ini adalah berasaskan prinsip kebajikan.

Islam mengambil berat kebajikan mereka yang kurang bernasib baik dan tidak mampu bekerja untuk mendapatkan pendapatan sendiri. Kewajiban untuk mengeluarkan zakat, membahagikan harta pusaka, anjuran supaya bersedekah, mewakafkan harta, mengerjakan korban dan banyak lagi adalah mekanisme pengagihan kekayaan dalam Islam dari golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada dan tidak bernasib baik.

Kita juga perlu sedar bahawa tidak kesemua harta yang kita perolehi itu adalah hak kita. Ini kerana, pada harta tersebut, terdapat bahagian orang lain seperti mana diterangkan dalam al-Quran: Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum (Al-Ma’arij:24).

Malahan, kesemua perkara di atas sebenarnya dapat memupuk sifat kasih saying, tolong-menolong dan prihatin dengan keadaan sekeliling terutamanya bagi membantu mereka yang tidak bernasib baik. Semua ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. Sabda Rasulullah saw: Sesungguhnya seorang muslim itu apabila memberikan nafkah kepada keluarganya dan dia mengharapkan pahala darinya, maka nafkahnya itu dikira sebagai sedekah (Muslim).

Jelaslah bahawa dalam sistem ekonomi islam, usaha memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan diuruskan dengan mengambil kira aspek kemanusiaan dan ekonomi. Nilai kemanusiaan sentiasa dipupuk, dibaja dan dipelihara. Pada masa yang sama, masalah ekonomi yang berkaitan dengan perbezaan jurang pendapatan, keperluan asasi dan kemiskinan turut diselesaikan. RMK-9 dilihat mempunyai ciri-ciri tersebut dan bagi mencapai semua itu, setiap kita perlu berusaha dengan gigih bagi memperbaiki nilai diri dan produktiviti. Sikap untuk terus bergantung harap pada subsidi, bantuan dan sebagainya perlu dikikis. Budaya ingin terus maju dan gigih berusaha mesti menjadi budaya baru kita semua.

No comments: