Sunday, October 02, 2011

Harapan pada Bajet 2012

Antara agenda besar buat negara bagi bulan Oktober ini ialah pembentangan Bajet 2012. Setiap bajet mempunyai jangkaan pendapatan dan perbelanjaan. Pendapatan bagi sesebuah negara biasanya dating dari hasil kutipan cukai. Perbelanjaan pula boleh dibahagikan kepada dua, perbelanjaan operasi dan perbelanjaan pembangunan.

Antara perkara penting untuk diberi perhatian bagi kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan perlu menilai kembali kedudukan perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Kedudukan perbelanjaan operasi negara mutakhir ini amat besar berbanding perbelanjaan pembangunan.
Bagi Bajet 2010 misalnya, 75% daripada jumlah bajet ialah untuk perbelanjaan operasi. Selaku sebuah negara yang masih berstatus negara membangun, keutamaan atas perbelenjaan pembangunan masih penting. Untuk kekal kompetitif, pembangunan dari aspek meningkatkan kapasiti modal negara adalah mustahak. Perangka polisi perlu mengenalpasti agihan perbelanjaan pembangunan yang strategic buat negara.
Perhatian untuk mengurangkan defisit negara juga penting. Meskipun kadar defisit negara sebanyak 5.4% dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada bajet lepas adalah terkawal, namun kedudukan defisit yang telah berlarutan lebih sedekad tidak boleh dibiarkan. Disebabkan para pelabur kini begitu sensitif dengan kedudukan defisit dan hutang banyak negara, sentiment ini begitu sensitif dalam keputusan pelaburan mereka.
Sentimen ini boleh menggugat keyakinan pelabur jika krisis kewangan melanda. Jika kerajaan bertindak awal menyelaraskan kembali defisit ini, Malaysia akan mempunyai kelebihan dari banyak negara dalam asas makroekonominya.
Juga penting dalam bajet kali ini ialah keinginan rakyat untuk melihat taraf kehidupan yang lebih sejahtera diberi keutamaan. Dari sudut ekonomi, ramai yang berharap agar kuasa beli rakyat Malaysia diperkukuh. Justeru, tekanan inflasi perlu dikawal.
Pengenalan gaji minimum yang lebih sistematik dan pelarasan gaji mengikut kadar inflasi beserta peningkatan produktiviti adalah langkah bersepadu yang boleh digerakkan.
Inflasi juga dapat dikawal dengan memastikan kos pengeluaran yang kompetitif. Untuk mencapai objektif ini, langkah lebih serius perlu diambil bagi mencegah ketirisan dalam perbelanjaan negara. Kempen rasuah sifar juga boleh dilaksanakan untuk mengurangkan kos pengeluaran di Malaysia. Jika amalan tidak sihat ini dapat dibenteras, kos pengeluaran yang lebih rendah dapat dicapai dan harga barang dan perkhidmatan akan lebih rendah.
Rakyat juga mengharapkan kehidupan aman damai dan harmoni (masyarakat penyayang). Tiada erti besar jika KDNK tinggi tetapi rakyat tidak rasa selamat. Peranan klasik kerajaan dalam memastikan undang-undang dipattuhi perlu diberi perhatian. Intergriti agensi kerajaan juga perlu dipertingkatkan.
Juga kita mengharapkan bajet kaliini akan membuka lembaran baru dalam membina model ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan sahaja polisi industri yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan dan pemeliharaan sumber semulajadi negara perlu dirangka. Kita tidak mahu alam semuala jadi kita rakus diperosak tanpa melihat kepada nilai keasliannya yang tidak ternilai.
Juga diharapkan, bajet kemasyarakatan ke arah membina sahsiah insan yang mempunyai nilai sivik tinggi, bekerjasama dan bersikap keushawanan akan dibentangkan. Nilai-nilai ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik.