Thursday, August 17, 2006

Kerana nila setitik

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad


PELBAGAI tafsiran dapat dibuat berikutan serbuan oleh Jabatan Imigresen terhadap sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang didakwa menggaji lebih 2,000 pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Pastinya sebagai sebuah entiti perniagaan yang berorientasikan keuntungan, kadangkala cara mudah untuk mengurangkan kos pengeluaran ialah dengan mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah. Ini merupakan suatu langkah yang murah dan cepat untuk dilaksanakan.

Namun, apabila perkara seperti ini tersingkap, pastinya ada kos yang terpaksa dibayar dan kos tersebut mungkin melebihi jumlah kos yang cuba dijimatkan dengan mengambil pekerja yang tidak sah.

Lebih mengecewakan apabila perkara ini dilaporkan dilakukan oleh sebuah syarikat bertaraf global yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Selain mencemarkan imej negara, kredibiliti syarikat-syarikat yang tersenarai juga pasti akan dipersoalkan.

Ini pastinya akan menjejaskan minat para pelabur (tempatan mahupun pelabur asing) untuk melabur di pasaran tempatan.

Tambahan pula dewasa ini pasaran saham tempatan masih dibayangi sentimen yang lemah.

Lebih malang lagi apabila perkara seperti ini berlaku dalam kesibukan kita memperkatakan soal urus tadbir korporat yang telus dan berwibawa.

Isu pemantauan, ketelusan laporan dan kredibiliti pihak-pihak berkenaan terus akan dipersoalkan.

Tafsiran lain; berita ini juga menggambarkan betapa negara kita begitu makmur di mana ramai pekerja asing sanggup datang ke Malaysia sama ada secara sah ataupun tidak hanya semata-mata untuk mendapatkan sesuap nasi. Persoalannya, di manakah pekerja tempatan?

Seperti yang kita sedia maklum, kita mempunyai sejumlah besar siswazah yang menganggur.

Mungkin kerana kelebihan ijazah yang dimiliki, maka mereka tidak bersedia/berminat untuk memenuhi (buat sementara) bidang pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelulusan yang mereka ada.

Kita juga boleh tafsirkan bahawa di Malaysia kini sememangnya kita makin kekurangan tenaga kerja peringkat bawahan berikutan taraf pendidikan negara yang semakin baik.

Akibatnya, banyak kilang mahupun ladang-ladang tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menggaji pekerja-pekerja asing.

Bagi para pemegang saham syarikat yang terbabit pula, pastinya mereka merasa kecewa terhadap pihak pengurusan yang diharapkan untuk menjaga amanah para pemegang saham.

Selain nilai saham yang mungkin jatuh, nama baik syarikat turut terjejas kini. Hakikatnya, untuk membina reputasi dan nama syarikat yang baik (goodwill) adalah memakan masa yang lama.

Namun, nama yang baik akan tercemar hanya dalam sekelip mata apabila sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya diketahui umum.

From Utusan Malaysia on 18 Aug 2006

Tuesday, August 15, 2006

Bayaran lewat jejaskan aliran tunai

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD


SERING kali kita dengar di media-media massa perihal kontraktor kecil yang telah menyiapkan projek tetapi masih belum mendapat bayaran daripada kontraktor besar mahupun agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Keadaan ini menjejaskan survival syarikat-syarikat kecil ini dan mengakibatkan ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar dan lebih buruk lagi, turut terjebak dalam kancah hutang yang tidak berpenghujung.

Masalah isu pembayaran lewat seperti ini adalah diharap akan dapat diselesaikan dalam perlaksanaan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah diumumkan kerajaan.

Para kontraktor khususnya sudah pasti mengharapkan perolehan tender dan kontrak untuk menjayakan semua projek yang telah diumumkan. Ini memberikan harapan baru kepada ramai kontraktor terutamanya yang bersaiz kecil dan sederhana untuk kembali bertenaga.

Setiap pihak yang terbabit pastinya mengharapkan keuntungan atau pulangan yang baik daripada pelaburan yang telah dibuat. Pulangan dalam bentuk kewangan sememangnya diharapkan oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam menjayakannya. Lebih daripada itu, pulangan dari segi peluang pekerjaan, peningkatan modal benar negara melalui kemudahan infrastruktur yang diwujudkan dan banyak lagi, merupakan antara pulangan projek-projek besar yang menjangkaui pulangan dalam bentuk kewangan.

Namun, sekiranya isu pembayaran kepada kontraktor yang telah menyiapkan projek masih kedengaran, ini sedikit sebanyak akan merencatkan usaha kerajaan untuk merancakkan kembali kegiatan perniagaan kecil dan sederhana negara. Seperti yang kita sedia maklum, golongan bumiputera merupakan mereka yang ramai terlibat dalam perniagaan berskala kecil dan sederhana ini.

Pembayaran lewat atas projek yang telah disiapkan biasanya menjejaskan aliran tunai sesebuah syarikat. Syarikat bersaiz kecil dan sederhana biasanya mempunyai dana modal yang kecil. Akibat pembayaran yang lewat, para kontraktor biasanya sering ketiadaan modal pusingan untuk melaksanakan projek yang seterusnya.

Masalah kecairan tunai sesebuah syarikat juga boleh mengakibatkan sesebuah syarikat itu terpaksa ditutup meskipun di atas kertas ia mencatatkan keuntungan. Perkara ini mungkin hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh ramai kontraktor kecil.

Sebaliknya, syarikat yang rugi tetapi mempunyai aliran tunai yang baik biasanya masih mampu beroperasi sekurang-kurangnya untuk suatu jangka masa terdekat. Dengan kecairan tunai yang ada, syarikat rugi ini masih mampu membayar para pembekal dan menggaji pekerja untk meneruskan operasinya.

Syarikat yang untung tetapi lemah aliran tunainya pula akan terpaksa ditutup kerana syarikat tidak mempunyai tunai untuk membayar para pembekal mahupun menggaji pekerja.

Ketiadaan aliran tunai yang baik mengakibatkan banyak syarikat-syarika bumiputera (terutamanya kontraktor kelas F) terpaksa ditutup. Perkara ini timbul bukan sahaja disebabkan oleh isu bayaran lewat oleh pihak kerajaan ataupun kontraktor besar semata-mata.

Terdapat juga beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada isu ini. Antaranya, kegagalan syarikat mungkin disebabkan oleh pengurusan aliran tunai yang lemah. Antara punca utama adalah disebabkan oleh penjualan secara hutang yang gagal dituntut bayarannya. Selain itu, ada juga segelintir peniaga yang suka berbelanja melebihi daripada kemampuan atau berbelanja pada perkara-perkara yang tidak produktif kepada pulangan syarikat.

Selain faktor-faktor di atas, tempoh kredit pendek yang diberikan oleh para pembekal juga menyumbang kepada masalah aliran tunai yang baik.

From Utusan Malaysia on 16 August 2006

Wednesday, August 09, 2006

Fahami terperinci dana unit amanah

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD


ISU pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kerugian hampir RM600 juta dalam pelaburan yang dibuat dalam dana amanah merupakan lumrah dalam dunia pelaburan. Adalah merupakan suatu pemahaman yang silap sekiranya kita beranggapan bahawa setiap pelaburan mesti mendatangkan keuntungan.

Dalam memperkatakan soal pelaburan, ramai di antara kita yang ghairah hendak melakukannya tanpa memperlengkapkan diri dengan ilmu yang sepatutnya (sekurang-kurangnya ilmu asas pelaburan).

Seharusnya kita sedar bahawa duit caruman KWSP merupakan duit yang terkumpul hasil dari kerja gigih yang dijalankan. Duit di KWSP juga merupakan suatu bentuk pelaburan kerana setiap tahun kita akan mendapat pulangan hasil dari aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh KWSP.

Kekeliruan sering timbul apabila kita diyakinkan oleh ejen-ejen dana amanah yang terlatih untuk mengeluarkan sebahagian wang caruman bagi dilaburkan dalam dana amanah yang diwakili mereka. Di sinilah mereka yang kurang arif dengan ilmu pelaburan biasanya senang terpengaruh dan akan membuat keputusan untuk 'cuba' melabur. Ini merupakan suatu perkara yang kurang rasional kerana keputusan yang dibuat bukan bersandarkan ilmu dan kefahaman tetapi lebih dipengaruhi oleh nafsu yang inginkan keuntungan yang lebih.

Sebenarnya tidak salah untuk kita melabur dalam dana amanah. Pencarum KWSP telah diberikan kebebasan di sini dan mereka seharusnya bersedia bertanggungjawab atas keputusan yang diambil dan wajar maklum akan risiko pelaburan yang bakal diterima.

Dalam dunia pelaburan, ada mereka yang untung dan ada juga yang rugi. Apakah faktor yang menghasilkan dua keputusan yang berbeza ini? Mereka yang berjaya kebanyakannya merupakan mereka yang memperlengkapkan diri dengan ilmu pelaburan sewajarnya.

Terdapat beberapa perkara penting yang mesti kita pertimbangkan sebelum kita mengambil keputusan untuk membuat pelaburan dalam sesebuah dana amanah.

Pertamanya, fahami matlamat dan tujuan pelaburan yang ingin dibuat. Pelabur juga perlu sedar akan tahap toleransi risiko yang mampu diambilnya selain mempertimbangkan tempoh jangka masa pelaburan yang hendak diambil.

Elok juga difahami bahawa terdapat pelbagai jenis dana amanah yang wujud dari segi bentuk pelaburan yang dibuat, tempoh jangka waktu pulangan, risiko yang diambil, gaya pelaburan syarikat dana tersebut dan sebagainya. Seseorang itu perlu membuat kaji selidik yang terperinci dalam hal ini. Ini kerana, setelah kita bersetuju untuk melabur, mereka inilah yang akan melaburkan wang hasil penat lelah kita bekerja. Pelaburan dalam dana amanah juga akan melibatkan perbelanjaan transaksi tertentu. Bakal pelabur dinasihatkan untuk memilih dana amanah yang tidak mengenakan caj yang mahal atas perkhidmatan yang disediakan.

from Utusan Malaysia on August 10, 2006.