Tuesday, August 15, 2006

Bayaran lewat jejaskan aliran tunai

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD


SERING kali kita dengar di media-media massa perihal kontraktor kecil yang telah menyiapkan projek tetapi masih belum mendapat bayaran daripada kontraktor besar mahupun agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

Keadaan ini menjejaskan survival syarikat-syarikat kecil ini dan mengakibatkan ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar dan lebih buruk lagi, turut terjebak dalam kancah hutang yang tidak berpenghujung.

Masalah isu pembayaran lewat seperti ini adalah diharap akan dapat diselesaikan dalam perlaksanaan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang telah diumumkan kerajaan.

Para kontraktor khususnya sudah pasti mengharapkan perolehan tender dan kontrak untuk menjayakan semua projek yang telah diumumkan. Ini memberikan harapan baru kepada ramai kontraktor terutamanya yang bersaiz kecil dan sederhana untuk kembali bertenaga.

Setiap pihak yang terbabit pastinya mengharapkan keuntungan atau pulangan yang baik daripada pelaburan yang telah dibuat. Pulangan dalam bentuk kewangan sememangnya diharapkan oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam menjayakannya. Lebih daripada itu, pulangan dari segi peluang pekerjaan, peningkatan modal benar negara melalui kemudahan infrastruktur yang diwujudkan dan banyak lagi, merupakan antara pulangan projek-projek besar yang menjangkaui pulangan dalam bentuk kewangan.

Namun, sekiranya isu pembayaran kepada kontraktor yang telah menyiapkan projek masih kedengaran, ini sedikit sebanyak akan merencatkan usaha kerajaan untuk merancakkan kembali kegiatan perniagaan kecil dan sederhana negara. Seperti yang kita sedia maklum, golongan bumiputera merupakan mereka yang ramai terlibat dalam perniagaan berskala kecil dan sederhana ini.

Pembayaran lewat atas projek yang telah disiapkan biasanya menjejaskan aliran tunai sesebuah syarikat. Syarikat bersaiz kecil dan sederhana biasanya mempunyai dana modal yang kecil. Akibat pembayaran yang lewat, para kontraktor biasanya sering ketiadaan modal pusingan untuk melaksanakan projek yang seterusnya.

Masalah kecairan tunai sesebuah syarikat juga boleh mengakibatkan sesebuah syarikat itu terpaksa ditutup meskipun di atas kertas ia mencatatkan keuntungan. Perkara ini mungkin hakikat pahit yang terpaksa ditelan oleh ramai kontraktor kecil.

Sebaliknya, syarikat yang rugi tetapi mempunyai aliran tunai yang baik biasanya masih mampu beroperasi sekurang-kurangnya untuk suatu jangka masa terdekat. Dengan kecairan tunai yang ada, syarikat rugi ini masih mampu membayar para pembekal dan menggaji pekerja untk meneruskan operasinya.

Syarikat yang untung tetapi lemah aliran tunainya pula akan terpaksa ditutup kerana syarikat tidak mempunyai tunai untuk membayar para pembekal mahupun menggaji pekerja.

Ketiadaan aliran tunai yang baik mengakibatkan banyak syarikat-syarika bumiputera (terutamanya kontraktor kelas F) terpaksa ditutup. Perkara ini timbul bukan sahaja disebabkan oleh isu bayaran lewat oleh pihak kerajaan ataupun kontraktor besar semata-mata.

Terdapat juga beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada isu ini. Antaranya, kegagalan syarikat mungkin disebabkan oleh pengurusan aliran tunai yang lemah. Antara punca utama adalah disebabkan oleh penjualan secara hutang yang gagal dituntut bayarannya. Selain itu, ada juga segelintir peniaga yang suka berbelanja melebihi daripada kemampuan atau berbelanja pada perkara-perkara yang tidak produktif kepada pulangan syarikat.

Selain faktor-faktor di atas, tempoh kredit pendek yang diberikan oleh para pembekal juga menyumbang kepada masalah aliran tunai yang baik.

From Utusan Malaysia on 16 August 2006

No comments: