Saturday, March 18, 2006

Insentif kewangan tarikan bidang tani

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

Kenaikan harga getah kini sememangnya memberikan banyak kelegaan kepada mereka yang bergelar penoreh atau pemilik ladang getah. Harga getah semasa antara RM7 sehingga RM9 sekilogram mengikut gred telah menghidupkan kembali semangat para penoreh dan pengusaha ladang getah yang sudah sekian lama lesu akibat harga getah yang merosot. Kini, kegiatan menoreh getah mampu memberikan pendapatan lumayan kepada golongan ini.

Hakikat turun naik harga komoditi sememangnya suatu perkara yang terpaksa dihadapai oleh mereka yang terlibat dalam sektor pertanian. Faktor harga komoditi yang di luar kawalan sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan sektor ini.

Kini, harga getah melonjak tinggi berikutan permintaan pasaran dunia yang meningkat.

Permintaan tinggi kali ini sekali lagi dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi China yang rancak. Kerancakan pertumbuhan ekonomi China pada masa kini telah menyebabkan komoditi seperti minyak, emas, getah, arang batu dan komoditi utama lain yang penting bagi perindustrian dan pembinaan telah melonjak tinggi.

Penurunan

Selain itu, harga getah juga naik akibat kekurangan stok penimbal negara-negara maju. Pada masa yang sama, berlaku penurunan penghasilan getah tiruan atau sintetik yang dihasilkan dari petroleum, rentetan harga minyak dunia yang meningkat pada masa ini.

Semua ini memberikan harapan baru kepada pekebun getah tambahan pula kenaikan kali ini dijangkakan akan bertahan untuk suatu tempoh yang lama - ada yang meramalkan selagi harga minyak terus tinggi, harga getah akan turut meningkat akibat kurangnya penghasilan getah sintetik yang dihasilkan daripada petrokimia.

Seperkara yang ketara dalam keadaan sekarang ialah bagaimana pentingnya insentif kewangan dalam menarik penyertaan orang ramai untuk menceburi bidang pertanian. Sektor pertanian dikatakan kurang mendapat minat golongan pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB). Majoriti generasi ini telah berhijrah ke bidang perindustrian atau perkhidmatan kerana pendapatan yang lebih baik.

Namun, apabila harga getah kembali tinggi, ada antara mereka yang telah lama `melupakan' kebun getah sanggup kembali menoreh. Golongan remaja yang dikatakan kurang berminat dengan sektor pertanian, kini telah turut sama belajar-belajar menoreh.

Nyata bahawa usaha bagi menjana kembali sektor pertanian sebagai antara pemacu ekonomi negara memerlukan penyertaan golongan muda. Untuk menarik minat golongan ini, kisah kenaikan harga getah menunjukkan bahawa minat akan wujud sekiranya insentif langsung dalam bentuk kewangan yang diterima adalah menarik.

- Mohd. Nahar Mohd. Arshad ialah Pensyarah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

15 Feb. 2006, Utusan Malaysia

Dasar kapitalisme memakan diri

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

Kejayaan Dubai Ports World membeli Peninsular and Oriental Steam Navigation Co. (P&O) yang berpangkalan di London dengan harga AS$6.8 bilion (RM25.5 bilion) telah membolehkan firma milik kerajaan Dubai itu menguasai operasi di pelabuhan-pelabuhan penting Amerika Syarikat (AS) seperti di New York, New Jersey, Baltimore, New Orleans, Miami dan Philadelphia.

Keadaan ini telah menimbulkan kontroversi dalaman di mana Kongres AS membantah keras penguasaan syarikat Dubai itu atas alasan keselamatan negara. Presiden George W. Bush sebaliknya mengancam akan menghalang sebarang usaha Kongres membatalkan pengambilalihan tersebut dengan kuasa vetonya.

Apa yang menarik di sini ialah bagaimana sebuah negara kapitalis yang sering melaung-laungkan agenda globalisasi dan liberalisasi pasaran, telah mula merasai kesan negatif globalisasi. Isu seperti inilah yang sering menjadi kekhuatiran negara-negara membangun dan miskin di mana, isu penguasaan syarikat-syarikat besar ke atas kepentingan ekonomi mereka lebih berorientasikan keuntungan berbanding perihal keutamaan kebajikan rakyat dan negara.

Jelas sekarang bahawa agenda kapitalis tajaan AS sudah mula memakan diri. Ironinya, apabila perkara yang telah lama menjadi kebimbangan negara-negara membangun ini terjadi ke atas mereka, mereka sendiri cemas dan membantah pengambilalihan oleh Dubai Ports World.

Sebaliknya, apabila ada negara-negara lain yang mempertahankan kepentingan hak milik ekuiti negara masing-masing, pelbagai tekanan untuk membuka pasaran akan dikenakan oleh AS dan sekutu-sekutunya.

Pada masa kini, jangkauan globalisasi AS banyak dicapai dengan kejayaan syarikat-syarikat multinasionalnya. Hal ini sudah menjadi pengetahuan umum. Syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai skala ekonomi besar ini telah banyak memusnahkan syarikat-syarikat kecil dari negara-negara membangun. Usaha perlindungan (protectionism) yang diambil oleh negara-negara membangun bagi mempertahankan industri yang sedang dijana lebih dilihat sebagai antiliberalisasi.

Tindak-tanduk perlindungan AS ke atas kepentingannya ini bukanlah perkara baru. Negara yang kononnya memperjuangkan dasar pasaran bebas ini turut terkenal dengan dasar perlindungan terutama bagi menjaga kepentingan industri-industri tertentu.

Kesimpulannya, dalam menghadapi arus globalisasi, setiap negara seharusnya diberikan kebebasan untuk menyesuaikan diri berdasarkan keupayaannya untuk membuka pasaran. Langkah `paksaan' yang diamalkan oleh segelintir negara-negara maju dalam isu globalisasi lebih bersifat mementingkan diri sendiri. Dalam konteks AS kali ini, apabila diri sendiri sudah terhantuk, biarlah mereka sendiri merasakan sakitnya.


1 Mac 2006, Utusan Malaysia

Langkah mikro hadapi inflasi

Oleh Mohd Nahar Mohd Arshad

Inflasi atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang berlaku secara berterusan merupakan suatu masalah ekonomi yang lazim kita dengar.

Secara amnya, kadar inflasi akan meningkat dalam suasana ekonomi yang pesat disebabkan oleh peningkatan jumlah permintaan barangan dan perkhidmatan berbanding jumlah penawaran.

Selain itu, kadar inflasi juga akan melonjak disebabkan oleh peningkatan kos pengeluaran yang biasanya berlaku akibat daripada peningkatan harga komoditi utama.

Selaku isi rumah dan juga pengguna, terdapat beberapa keadaan bagaimana inflasi boleh menjejaskan kita. Pertama, inflasi menjejaskan pendapatan benar sesebuah isi rumah. Ini terutamanya akan lebih dirasai bagi mereka yang berpendapatan tetap. Keadaan ini mengakibatkan kejatuhan kuasa beli pengguna.

Kedua, inflasi juga mengakibatkan susutan nilai simpanan mahupun pelaburan isi rumah. Sebarang simpanan dan pelaburan yang tidak memberikan pulangan keuntungan atau dividen akan susut nilai benarnya disebabkan inflasi.

Justeru, kita perlu memastikan segala simpanan yang dibuat memberikan pulangan yang setimpal di mana kadar keuntungan dan dividennya perlulah lebih tinggi dari kadar inflasi.

Secara mudah, sekiranya sesebuah institusi kewangan memberikan keuntungan atau dividen sebanyak 4 peratus, manakala kadar inflasi berada pada paras 3.5 peratus, maka keuntungan benar yang diperoleh hanyalah sebanyak 0.5 peratus.

Faedah

Seterusnya, inflasi juga menjejaskan kedudukan isi rumah sebagai pemiutang. Hutang yang diberikan sebelum kenaikan kadar inflasi merupakan wang yang tinggi nilai benarnya. Sebaliknya, bayaran hutang yang diterima tetapi selepas berlakunya kenaikan inflasi merupakan wang yang murah atau telah susut nilai benarnya.

Biasanya, apabila kadar inflasi meningkat, kadar faedah semasa juga akan meningkat. Di sini, sekali lagi isi rumah akan terjejas kerana kenaikan kadar faedah semasa bermakna kos pinjaman, terutama bagi pembelian barangan tahan lama seperti kereta, rumah, dan perabot akan turut meningkat. Ini mungkin akan memaksa kita menangguhkan pembelian barangan tersebut.

Menyedari akan semua ini, terdapat beberapa perkara yang dapat kita lakukan bagi menghadapi inflasi. Pertama, oleh kerana inflasi boleh menjejaskan pendapatan benar, terutama bagi mereka yang menerima pendapatan tetap, maka usaha dan ikhtiar perlu dicari untuk menambahkan pendapatan sedia ada.

Para peniaga biasanya dapat mengurangkan impak inflasi dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan. Langkah ini hanya mengatasi inflasi di peringkat mikro (isi rumah) sahaja tetapi akan memberikan kesan yang lebih buruk dari sudut makroekonomi.

Kedua, bagi melindungi nilai simpanan mahupun pelaburan daripada kesan inflasi, simpanan dan pelaburan mestilah diletakkan di tempat yang memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi semasa.

Menyimpan dalam bentuk aset seperti dengan membeli emas dan hartanah adalah antara langkah lain yang dapat diambil.

Langkah seterusnya, berbelanja mengikut keperluan dan tidak mengikut nafsu adalah langkah bijak yang dapat kita laksanakan selaku pengguna.


8 Mac 2006, Utusan Malaysia

Tuesday, March 14, 2006

Insentif tingkatkan semangat berkhidmat

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad


Pembentangan Bajet 2006 sekali lagi membawa berita gembira buat kakitangan awam. Pemberian elaun dan bonus sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan isi rumah terutamanya bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana. Tambahan lagi, `bonus' bekerja lima hari seminggu turut dilihat mampu meningkatkan lagi mutu kehidupan sosial mereka. Ini diharap akan menjadi pembakar semangat dan motivasi kepada kakitangan awam untuk memberikan khidmat yang terbaik.

Sememangnya insentif kewangan sering dilihat sebagai satu faktor penting untuk meningkatkan motivasi kerja. Pemberian insentif kewangan yang bersesuaian amat penting untuk mendorong usaha yang optimum daripada pekerja.

Sekiranya insentif kewangan tidak setimpal diberikan, para pekerja biasanya akan mengambil kesempatan di tempat kerja untuk memenuhi kepentingan diri masing-masing.

Optimum

Pun begitu, kita tidak seharusnya melihat insentif material sebagai satu-satunya faktor untuk mendorong usaha yang optimum daripada diri masing-masing. Dari pandangan Islam, terdapat banyak sebab yang wajar kita renung sebagai insentif untuk kita memberikan usaha yang terbaik.

Selain tidak menafikan insentif material untuk setiap usaha yang kita laksanakan, Islam menekankan aspek insentif spiritual sebagai tunjang utama untuk kita memberikan usaha yang terbaik dalam setiap yang dilakukan. Ini kerana, setiap kerja mestilah dijalankan dengan niat untuk mendapatkan keredaan Ilahi.

Lantaran, untuk setiap usaha yang ikhlas dilakukan, Allah s.w.t. telah menjanjikan ganjaran syurga. Sebaliknya, balasan neraka disediakan untuk mereka yang menyeleweng dalam amanah yang diberikan. Nyata bahawa dalam Islam, setiap kerja baik yang dilakukan dengan niat yang betul akan dikira sebagai satu ibadah yang akan mendapat ganjaran yang besar. Ini wajar disedari dan dijadikan daya dorong dalam diri kita.

Selain itu, dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w., terdapat banyak galakan yang boleh dijadikan motivasi untuk kita bekerja dan memberikan yang terbaik. Antara hadis yang popular, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: ``Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah esok kamu akan mati.''

Agama Islam tidak pernah melarang umatnya untuk mencari rezeki dan kekayaan di dunia (al-Qasas:77). Ini penting kerana dalam ajarannya, terdapat tuntutan yang memerlukan kita mempunyai kedudukan kewangan yang baik. Antaranya, kita wajib membayar zakat dan menunaikan haji.

Tuntutan nafkah untuk ahli keluarga juga merupakan suatu yang wajib. Yang pasti, semua tuntutan ini me-merlukan usaha yang gigih dan ikhlas dalam kita mencari pendapatan yang bersih dan halal untuk melaksanakan ibadah-ibadah tersebut.

Nyata sekarang bahawa insentif spiritual mampu menjadi pencetus motivasi ulung untuk kita memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tugas sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Budaya cemerlang merupakan tuntutan Islam.

12 Oktober 2005, Utusan Malaysia

Merancang kewangan semasa perayaan

Oleh: MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, kemeriahannya telah mula dirasai. Paling ketara, rata-rata kita sibuk berbelanja dengan membeli-belah.

Berbelanja sememangnya mudah. Justeru, kebanyakan kita akan berbelanja besar saban bulan (terutamanya dalam musim perayaan) sehingga ramai yang kehabisan wang meskipun masih di awal bulan.

Sebenarnya, tidak salah berbelanja asalkan kita tahu kemampuan kita. Perkara utama dalam merancang kewangan adalah untuk mencipta kekayaan. Persoalan pokok ialah bagaimanakah kita mampu menjana pendapatan yang lebih?

Secara ringkas, untuk menuju ke arah itu, kita perlu meningkatkan ilmu, kemahiran dan nilai tambah diri di mana semua ini akan membolehkan kita meningkatkan sumbangan kepada masyarakat. Ingatlah bahawa semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita akan terima.

Mencipta kekayaan mungkin tidak sukar bagi kebanyakan kita tetapi mampukah kita mengekalkan kekayaan yang dicipta? Inilah peringkat kritikal di mana ramai yang gagal kerana kita sering rakus berbelanja.

Prinsip utama yang mesti kita pegang adalah untuk berbelanja kurang daripada apa yang kita peroleh dan menyimpan selebihnya. Sebagai prinsip mudah, sekurang-kurangnya kita mesti menyimpan 10 peratus daripada pendapatan yang dijana.

Seterusnya, simpanan yang dikumpulkan mestilah dilaburkan agar kita dapat meningkatkan lagi kekayaan sedia ada. Pelaburan sangat digalakkan dalam Islam. Namun, pelaburan yang berasaskan riba adalah haram dan Allah menyatakan bahawa pelaburan seperti ini tidak akan meningkatkan kekayaan individu, syarikat mahupun negara (Ar-Rum:39 dan Al-Baqarah:275-281).

Prinsip perkongsian berasaskan kontrak musyarakah dan mudharabah sangat digalakkan dalam Islam kerana ini mampu menjana perkembangan ekonomi yang sebenarnya.

Selain itu, pemberian sedekah juga mampu meningkatkan lagi kekayaan.

Langkah seterusnya, harta kekayaan yang diperoleh perlu dipelihara dengan baik. Pemeliharaan kekayaan berlandaskan Islam, bermaksud, kita disuruh menggunakan kekayaan dengan sebaik-baiknya, mengekalkan produktiviti kekayaan yang diperoleh (tidak membiarkannya tanpa diusahakan seperti tanah terbiar) dan seterusnya, mematuhi setiap kewajipan harta seperti pembayaran zakat, tuntutan haji dan faraid.

Selanjutnya, setelah kita berjaya mencipta kekayaan, menyimpan, melabur dan memeliharanya dengan baik, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita peroleh. Ingatlah bahawa perancangan kewangan yang baik sangat penting. Kita tidak seharusnya boros dalam berbelanja sehingga hidup dikongkong hutang yang tidak berpenghujung.


19 Oktober 2005, Utusan Malaysia

Monday, March 13, 2006

Cabaran industri automobil nasional

Bagi tahun ini, kepastian tentang impak AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN) terhadap industri automotif negara sekali lagi hangat diperkatakan terutamanya dalam konteks kesannya terhadap harga kereta di pasaran tempatan.

Para penganalisis dan para pengguna nampaknya tidak meletakkan harapan tinggi untuk tahun 2005 seperti mana harapan mereka pada awal tahun 2004 - tahun di mana ramai pengguna berharap harga kereta akan jatuh mendadak, tetapi sebaliknya ramai yang kecewa.

Sekali lagi kerajaan mengambil langkah menggantikan duti import automotif yang diturunkan dengan duti eksais. Ini antara lain, sebagai langkah untuk memastikan aliran pendapatan kerajaan tidak terjejas akibat penurunan duti import automotif.

Kesan pelaksanaan AFTA terhadap industri automotif nasional semakin ketara.

Dilema untuk terus memelihara industri automotif tempatan yang selama ini terpelihara menerusi dasar perlindungan perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk melaksanakan perjanjian AFTA yang telah dimeterai.

Hal ini sedikit sebanyak telah menjejaskan keupayaan persaingan Malaysia berbanding negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia dalam industri automotif. Kedua-dua negara rancak menjadi pusat pemasangan kereta import bagi rantau ini.

Dasar perlindungan dalam bentuk duti import dan tarif ke atas kenderaan import yang telah dilaksanakan semenjak kita mempunyai industri automotif nasional sememangnya memberikan pendapatan yang besar kepada kerajaan.

Dengan pelaksanaan AFTA, penurunan duti secara drastik pastinya akan menjejaskan hasil negara dan kehilangan pendapatan ini wajar ada gantinya.

Meskipun demikian, kerajaan masih lagi komited dengan AFTA dan perkara ini dapat dilihat dengan kemasukan kereta-kereta import yang semakin membanjiri jalan-jalan raya.

Apa yang lebih menarik, kereta-kereta penumpang berjenama import untuk kelas pertengahan semakin mampu dimiliki oleh kebanyakan kita dengan harga, kualiti dan prestasi yang memuaskan.

Keadaan ini sudah pasti memberi tekanan kepada pengeluar kereta nasional untuk mengekalkan penguasaan pasaran yang sedia ada di samping, mengekalkan tahap kesetiaan pembeli tempatan terhadap kereta nasional.

Cabaran yang dihadapi oleh industri automotif tempatan sememangnya hebat. Selain AFTA, industri automotif turut menerima kesan akibat dari kenaikan sebanyak 30 peratus harga besi dan keluli dunia. Ini mengakibatkan para pengeluar terpaksa menghadapi tekanan kos yang meningkat.

Tambahan lagi, penurunan nilai dolar turut memberikan kesan ke atas industri automotif dunia. Penurunan dolar berbanding nilai mata wang lain menyebabkan harga kereta buatan Amerika secara relatifnya lebih murah berbanding dengan harga kereta lain. Keadaan ini memberikan kesan ke atas eksport kereta oleh pengeluar kereta lain (bukan Amerika).

Selain itu, kenaikan harga minyak yang mencapai paras AS$50 setong turut menjejaskan pendapatan boleh guna para pembeli. Ini seterusnya mampu menjejaskan permintaan terhadap kereta.

Selain cabaran global di atas, industri automotif tempatan turut menghadapi keadaan pasaran kereta tempatan yang matang. Ini dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan kenderaan di jalan raya kini.

Dianggarkan di Malaysia kini, nisbah penduduk berbanding kereta ialah empat kepada satu atau empat rakyat Malaysia untuk satu kereta.

Keupayaan bersama Proton dan Perodua adalah sebanyak 500,000 buah kereta setahun dan ini sebenarnya sudah lebih dari mencukupi untuk memenuhi pasaran kereta tempatan yang tidak besar.

Pengeluaran lesen baru untuk membawa kereta import ke Malaysia sudah pasti akan meningkatkan jumlah penawaran kereta di pasaran tempatan dan penambahan penawaran berbanding permintaan pasti akan mengakibatkan penurunan harga kenderaan tidak akan dapat dielakkan.

Pengeluar kereta nasional juga perlu bersedia dengan perubahan cita rasa pembeli tempatan. Setelah sekian lama rakyat Malaysia hanya `mampu' membeli kereta tempatan dan lebih 70 peratus pasaran kereta dikuasai oleh Proton dan Perodua, pembukaan pasaran bagi memenuhi AFTA telah memberikan kita lebih banyak pilihan dan membuka `selera' untuk mencuba kenderaan lain pula.

Semua ini adalah antara realiti dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pengeluar kereta tempatan. Langkah awal Proton dan Perodua terhadap cabaran ini sudah dapat dilihat di mana kedua-duanya telah menjalin kerjasama dengan pengeluar kereta luar negara bagi memastikan penguasaan pasaran yang sedia ada tidak terlepas begitu sahaja.

Yang jelas, para pengguna semakin mempunyai banyak pilihan sekarang. Adalah diharapkan, pengguna tempatan akan terus setia membeli barang buatan tempatan.

Untuk memastikan ini, sudah pasti para pembeli tempatan mahukan kualiti kereta nasional yang dipertingkatkan (sebagai contoh, peningkatan ciri keselamatan seperti beg udara) dengan harga yang setanding dengan kereta import.

Khidmat selepas jualan yang cemerlang turut akan menjamin kesetiaan para pembeli di samping harga alat ganti kereta nasional yang secara amnya masih lagi murah dan mudah untuk diperoleh. - MOHD NAHAR MOHD ARSHAD, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

12 Jan 2005, Utusan Malaysia

Menilai kesediaan K-ekonomi negara

Oleh: MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Kenyataan ini semakin penting dalam konteks pembangunan masa kini di mana istilah K-ekonomi (knowledge-based economy) itu sendiri, menjelaskan bagaimana kekayaan dan penciptaan kekayaan dapat dijana dan diwujudkan dengan ilmu.

Hakikat ini nyata dalam konteks pembangunan Malaysia. Indeks kualiti hidup di Malaysia menunjukkan bahawa tahap kualiti pendidikan di negara ini semakin baik di mana dari tahun 1990 sehingga tahun 2002, indeks kualiti pendidikan telah meningkat sebanyak 17.35 peratus.

Ini tidak menghairankan jika kita lihat peruntukan perbelanjaan yang besar disediakan kerajaan untuk bidang pendidikan di mana 20.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh 2002/03 telah diperuntukkan untuk sektor ini.

Komitmen ini memastikan kualiti sumber insan negara terus meningkat. Ini ketara kerana bagi tahun 2002/03, 93 peratus mereka yang layak memasuki sekolah rendah mendapat pendidikan tersebut manakala bagi sekolah menengah, jumlahnya ialah sebanyak 70 peratus.

Peratus kemasukan ke pusat pengajian tinggi juga meningkat ke paras 29 peratus (dari jumlah mereka yang layak mendapatkannya) bagi tahun 2002/03 berbanding hanya tujuh peratus pada tahun 1990/91.

Peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan merupakan satu pelaburan bagi menjayakan agenda K-ekonomi negara. Namun, apakah pelaburan ini membawa pulangan yang memuaskan?

Untuk menilai kedudukan Malaysia dalam usahanya menuju ke arah K-ekonomi, terdapat beberapa kriteria yang boleh dijadikan sebagai tanda aras.

Antaranya dengan melihat sejauh manakah kedudukan sumber manusia atau insan menjadi penentu kepada daya kompetitif negara.

Ia dinilai berdasarkan kedudukan ilmu, serta kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki sesebuah negara dan sejauh mana keupayaan ini menjadi penyumbang kepada ekonomi negara tersebut.

Kebanyakan negara maju mempunyai daya saing yang tinggi dalam penghasilan ilmu dan teknologi. Ini dapat dilihat berdasarkan jumlah saintis dan jurutera dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), jumlah eksport teknologi dan pendapatan royalti dan yuran lesen daripada harta intelek yang didaftarkan.

Sebagai perbandingan, jumlah saintis dan jurutera dalam bidang R&D di Jepun, Singapura dan Jerman untuk setiap sejuta penduduk antara tempoh 1996-2002, masing-masing mencatatkan jumlah seramai 5,085, 4,362 dan 3,222 orang. Manakala bagi Malaysia, jumlahnya ialah seramai 294 orang sahaja.

Selain itu, bagi tahun 2003, pendapatan dari hasil royalti dan yuran lesen harta intelek di Jepun mencecah nilai $12,271 juta dolar. Jerman pula memperoleh $4,262 juta dolar manakala negara kita mencatatkan $20 juta dolar.

Malahan, kita sebenarnya membayar sebanyak $782 juta dolar untuk royalti dan yuran lesen bagi tahun yang sama.

Kriteria lain bagi negara bercirikan K-ekonomi; ia berasaskan kepada tahap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tinggi sebagai salah satu infrastruktur utamanya di samping kadar celik komputer yang tinggi di kalangan masyarakat.

Dinilai dari aspek penggunaan talian jalur lebar, tahap penggunaannya masih lagi rendah di Malaysia, manakala dari sudut jumlah pengguna Internet, Malaysia mempunyai 8.7 juta pengguna Internet bagi tahun 2003.

Yang nyata, kita masih mempunyai ruang yang luas bagi mempertingkatkan keupayaan K-ekonomi negara. Usaha memperkasakan K-ekonomi sangat penting dewasa ini kerana sebahagian besar komposisi ekonomi kita datang dari sektor perkhidmatan yang menyumbang 59.1 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2004. Manakala, sektor perindustrian pula menyumbang sebanyak 33.6 peratus.

Selain itu, sektor pertanian juga sedang dijana dengan usaha kerajaan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi moden dalam bidang ini.

Oleh kerana kecekapan dan daya kompetitif ketiga-tiga sektor ini semakin bergantung dengan tahap teknologi dan keupayaan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, bidang pendidikan peringkat tinggi dilihat akan menjadi asas penting dalam proses menghasilkan sumber insan yang berkualiti dalam usaha membangunkan Malaysia pada masa hadapan.

* Mohd. Nahar Mohd. Arshad ialah Pensyarah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

4 Jan 06, Utusan Malaysia