Tuesday, March 14, 2006

Merancang kewangan semasa perayaan

Oleh: MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

Menjelang Aidilfitri yang bakal tiba, kemeriahannya telah mula dirasai. Paling ketara, rata-rata kita sibuk berbelanja dengan membeli-belah.

Berbelanja sememangnya mudah. Justeru, kebanyakan kita akan berbelanja besar saban bulan (terutamanya dalam musim perayaan) sehingga ramai yang kehabisan wang meskipun masih di awal bulan.

Sebenarnya, tidak salah berbelanja asalkan kita tahu kemampuan kita. Perkara utama dalam merancang kewangan adalah untuk mencipta kekayaan. Persoalan pokok ialah bagaimanakah kita mampu menjana pendapatan yang lebih?

Secara ringkas, untuk menuju ke arah itu, kita perlu meningkatkan ilmu, kemahiran dan nilai tambah diri di mana semua ini akan membolehkan kita meningkatkan sumbangan kepada masyarakat. Ingatlah bahawa semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita akan terima.

Mencipta kekayaan mungkin tidak sukar bagi kebanyakan kita tetapi mampukah kita mengekalkan kekayaan yang dicipta? Inilah peringkat kritikal di mana ramai yang gagal kerana kita sering rakus berbelanja.

Prinsip utama yang mesti kita pegang adalah untuk berbelanja kurang daripada apa yang kita peroleh dan menyimpan selebihnya. Sebagai prinsip mudah, sekurang-kurangnya kita mesti menyimpan 10 peratus daripada pendapatan yang dijana.

Seterusnya, simpanan yang dikumpulkan mestilah dilaburkan agar kita dapat meningkatkan lagi kekayaan sedia ada. Pelaburan sangat digalakkan dalam Islam. Namun, pelaburan yang berasaskan riba adalah haram dan Allah menyatakan bahawa pelaburan seperti ini tidak akan meningkatkan kekayaan individu, syarikat mahupun negara (Ar-Rum:39 dan Al-Baqarah:275-281).

Prinsip perkongsian berasaskan kontrak musyarakah dan mudharabah sangat digalakkan dalam Islam kerana ini mampu menjana perkembangan ekonomi yang sebenarnya.

Selain itu, pemberian sedekah juga mampu meningkatkan lagi kekayaan.

Langkah seterusnya, harta kekayaan yang diperoleh perlu dipelihara dengan baik. Pemeliharaan kekayaan berlandaskan Islam, bermaksud, kita disuruh menggunakan kekayaan dengan sebaik-baiknya, mengekalkan produktiviti kekayaan yang diperoleh (tidak membiarkannya tanpa diusahakan seperti tanah terbiar) dan seterusnya, mematuhi setiap kewajipan harta seperti pembayaran zakat, tuntutan haji dan faraid.

Selanjutnya, setelah kita berjaya mencipta kekayaan, menyimpan, melabur dan memeliharanya dengan baik, kita perlu bersyukur dengan apa yang kita peroleh. Ingatlah bahawa perancangan kewangan yang baik sangat penting. Kita tidak seharusnya boros dalam berbelanja sehingga hidup dikongkong hutang yang tidak berpenghujung.


19 Oktober 2005, Utusan Malaysia

No comments: