Saturday, March 18, 2006

Insentif kewangan tarikan bidang tani

Oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

Kenaikan harga getah kini sememangnya memberikan banyak kelegaan kepada mereka yang bergelar penoreh atau pemilik ladang getah. Harga getah semasa antara RM7 sehingga RM9 sekilogram mengikut gred telah menghidupkan kembali semangat para penoreh dan pengusaha ladang getah yang sudah sekian lama lesu akibat harga getah yang merosot. Kini, kegiatan menoreh getah mampu memberikan pendapatan lumayan kepada golongan ini.

Hakikat turun naik harga komoditi sememangnya suatu perkara yang terpaksa dihadapai oleh mereka yang terlibat dalam sektor pertanian. Faktor harga komoditi yang di luar kawalan sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan sektor ini.

Kini, harga getah melonjak tinggi berikutan permintaan pasaran dunia yang meningkat.

Permintaan tinggi kali ini sekali lagi dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi China yang rancak. Kerancakan pertumbuhan ekonomi China pada masa kini telah menyebabkan komoditi seperti minyak, emas, getah, arang batu dan komoditi utama lain yang penting bagi perindustrian dan pembinaan telah melonjak tinggi.

Penurunan

Selain itu, harga getah juga naik akibat kekurangan stok penimbal negara-negara maju. Pada masa yang sama, berlaku penurunan penghasilan getah tiruan atau sintetik yang dihasilkan dari petroleum, rentetan harga minyak dunia yang meningkat pada masa ini.

Semua ini memberikan harapan baru kepada pekebun getah tambahan pula kenaikan kali ini dijangkakan akan bertahan untuk suatu tempoh yang lama - ada yang meramalkan selagi harga minyak terus tinggi, harga getah akan turut meningkat akibat kurangnya penghasilan getah sintetik yang dihasilkan daripada petrokimia.

Seperkara yang ketara dalam keadaan sekarang ialah bagaimana pentingnya insentif kewangan dalam menarik penyertaan orang ramai untuk menceburi bidang pertanian. Sektor pertanian dikatakan kurang mendapat minat golongan pasca Dasar Ekonomi Baru (DEB). Majoriti generasi ini telah berhijrah ke bidang perindustrian atau perkhidmatan kerana pendapatan yang lebih baik.

Namun, apabila harga getah kembali tinggi, ada antara mereka yang telah lama `melupakan' kebun getah sanggup kembali menoreh. Golongan remaja yang dikatakan kurang berminat dengan sektor pertanian, kini telah turut sama belajar-belajar menoreh.

Nyata bahawa usaha bagi menjana kembali sektor pertanian sebagai antara pemacu ekonomi negara memerlukan penyertaan golongan muda. Untuk menarik minat golongan ini, kisah kenaikan harga getah menunjukkan bahawa minat akan wujud sekiranya insentif langsung dalam bentuk kewangan yang diterima adalah menarik.

- Mohd. Nahar Mohd. Arshad ialah Pensyarah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

15 Feb. 2006, Utusan Malaysia

No comments: