Wednesday, April 12, 2006

Kerajaan kekal pemacu utama ekonomi

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 9 April - Kerajaan dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara sepanjang lima tahun akan datang berikutan ketidakupayaan sektor swasta mengambil alih peranan tersebut.

Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Nahar Mohd. Arshad berkata, keperluan untuk memastikan ekonomi terus berkembang kukuh menyebabkan kerajaan tidak mungkin melupuskan defisit bajet secara keseluruhannya menjelang 2008.

Berikutan itu, kata beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kerajaan mengunjurkan belanjawan negara terus mengalami defisit sehingga 2010, pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

``Berdasarkan pencapaian sekarang, saya tidak fikir sektor swasta secara bersendirian berupaya memacu ekonomi negara dan dalam erti kata lain mereka (swasta) masih perlukan pelaburan kerajaan untuk melaksanakan projek dan memberi mereka kontrak.

``Apatah lagi dalam tempoh lima tahun lagi saya membayangkan ekonomi negara bakal menghadapi pelbagai cabaran terutama dalam isu ketidaktentuan harga minyak serta liberalisasi dalam sektor automotif dan kewangan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai defisit keseluruhan Kerajaan Persekutuan yang dijangka berjumlah RM107.6 bilion atau 3.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tempoh RMK-9.

Defisit itu dijangka berkurangan secara beransur-ansur daripada 3.8 peratus KDNK pada 2005.

Dua tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2005, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mengurangkan kadar defisitnya secara beransur-ansur untuk mencapai sasaran belanjawan berimbang menjelang 2008.

Menjelaskan perkara itu, Mohd. Nahar berkata, pengurangan defisit sememangnya menjadi keutamaan dalam belanjawan tetapi kerajaan perlu mengambil kira faktor-faktor lain.

Ia kerana, tambah beliau, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, belanjawan yang dibuat juga perlu mengambil kira kadar inflasi.

``Kalau inflasi tidak dikawal ia akan menyebabkan ekonomi lumpuh kerana kuasa membeli semakin hilang,'' ujarnya.

Tokoh ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berkata, kerajaan tidak boleh melupuskan defisit bajet dalam tempoh lima tahun ini kerana Malaysia mempunyai masa yang terhad untuk mencapai status negara maju pada 2020.

Lagipun, katanya, jika defisit bajet dihapuskan ia akan mewujudkan konflik antara rakyat dengan sektor swasta.

Sebab itu, katanya, sebelum mencapai bajet berimbang kerajaan perlu memastikan ekonomi negara dalam keadaan stabil.

``Kalau negara tidak stabil banyak kemungkinan berlaku seperti peningkatan kadar faedah, harga barang naik, pembeli hilang kuasa beli, pelabur tarik diri dan sektor swasta tidak efisien,'' ujarnya.

Sementara itu, seorang penganalisa ekonomi berkata, kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai belanjawan defisit kerana ia boleh merencatkan ekonomi negara.

``Kalau dibuat secara drastik, saya khuatir pertumbuhan ekonomi akan menguncup, lebih baik dikurangkan secara berperingkat-peringkat,'' katanya.

10 Apr. 2006, Utusan Malaysia

No comments: