Wednesday, April 26, 2006

Lengkapkan diri dengan ilmu pelaburan

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang bermula dari 20 hingga 29 April 2006 merupakan suatu langkah yang baik dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan literasi pelaburan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi golongan Bumiputra.

Langkah Perbadanan Nasional Berhad (PNB) menyediakan pelbagai pilihan skim pelaburan amanah sememangnya memberikan peluang dan pilihan kepada ramai rakyat Malaysia untuk melabur dengan cara yang bijak.

Pelaburan biasanya memerlukan sejumlah modal (biasanya modal kewangan) yang digunakan bagi mendatangkan pulangan setelah mengambil kira beberapa risiko yang munasabah. Pelaburan biasanya melibatkan tempoh tertentu sama ada pendek atau panjang.

Ramai orang teruja untuk melabur bagi mendapatkan pulangan yang cepat dan besar. Keghairahan ini biasanya membawa padah kerana para pelabur sering terlepas pandang akan hakikat risiko yang wujud. Secara mudah, semakin tinggi risiko yang diambil, semakin besar pulangan yang mungkin bakal diperoleh.

Perkara penting dalam membicarakan soal pelaburan ialah kemampuan seseorang itu untuk menguruskan kewangannya dengan baik. Kita digalakkan melabur setelah mempunyai had simpanan yang tertentu.

Pelaburan juga boleh dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai simpanan iaitu dengan meminjam. Bagaimanapun, perihal seperti ini akan membawa kepada masalah yang lebih serius sekiranya pelaburan yang dilakukan itu gagal.

Kita juga perlu sedar bahawa terdapat pelbagai bentuk pelaburan yang boleh kita lakukan. Aktiviti berniaga merupakan suatu bentuk pelaburan langsung yang menjanjikan pulangan yang baik. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa sembilan per sepuluh rezeki itu datang dari perniagaan..

Selain itu, dalam konteks sistem kewangan yang semakin kompleks kini, pelaburan juga dapat dilakukan dengan cara membeli saham, bon, unit amanah, mata wang, komoditi, hartanah dan pelbagai lagi. Mengumpulkan barangan antik dan unik juga merupakan bentuk pelaburan yang mampu mendatangkan pulangan yang lumayan dalam jangka masa panjang.

Apa yang penting, setiap pelabur perlu mempunyai matlamat, ilmu dan objektif pelaburan yang jelas. Pelabur juga perlu sedar akan tahap toleransi risiko yang munasabah bagi dirinya. Ini kerana, ada pelabur yang terlalu obses dengan aktiviti pelaburannya sehingga tidak dapat tidur malam memikirkan soal untung dan rugi. Adakah ini yang anda mahu?

Yang nyata, melabur itu sememangnya baik bagi meningkatkan lagi kekayaan.

Namun, keghairahan untuk meningkatkan kekayaan melalui aktiviti pelaburan sering membuatkan ramai terlupa bahawa hakikat untuk tidak jatuh miskin adalah lebih penting lagi. Ini kerana, ramai yang jatuh miskin setelah mereka cuba untuk melabur.

27 Apr 2006, Utusan Malaysia

No comments: