Wednesday, April 26, 2006

Lengkapkan diri dengan ilmu pelaburan

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD


MINGGU Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang bermula dari 20 hingga 29 April 2006 merupakan suatu langkah yang baik dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan literasi pelaburan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi golongan Bumiputra.

Langkah Perbadanan Nasional Berhad (PNB) menyediakan pelbagai pilihan skim pelaburan amanah sememangnya memberikan peluang dan pilihan kepada ramai rakyat Malaysia untuk melabur dengan cara yang bijak.

Pelaburan biasanya memerlukan sejumlah modal (biasanya modal kewangan) yang digunakan bagi mendatangkan pulangan setelah mengambil kira beberapa risiko yang munasabah. Pelaburan biasanya melibatkan tempoh tertentu sama ada pendek atau panjang.

Ramai orang teruja untuk melabur bagi mendapatkan pulangan yang cepat dan besar. Keghairahan ini biasanya membawa padah kerana para pelabur sering terlepas pandang akan hakikat risiko yang wujud. Secara mudah, semakin tinggi risiko yang diambil, semakin besar pulangan yang mungkin bakal diperoleh.

Perkara penting dalam membicarakan soal pelaburan ialah kemampuan seseorang itu untuk menguruskan kewangannya dengan baik. Kita digalakkan melabur setelah mempunyai had simpanan yang tertentu.

Pelaburan juga boleh dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai simpanan iaitu dengan meminjam. Bagaimanapun, perihal seperti ini akan membawa kepada masalah yang lebih serius sekiranya pelaburan yang dilakukan itu gagal.

Kita juga perlu sedar bahawa terdapat pelbagai bentuk pelaburan yang boleh kita lakukan. Aktiviti berniaga merupakan suatu bentuk pelaburan langsung yang menjanjikan pulangan yang baik. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa sembilan per sepuluh rezeki itu datang dari perniagaan..

Selain itu, dalam konteks sistem kewangan yang semakin kompleks kini, pelaburan juga dapat dilakukan dengan cara membeli saham, bon, unit amanah, mata wang, komoditi, hartanah dan pelbagai lagi. Mengumpulkan barangan antik dan unik juga merupakan bentuk pelaburan yang mampu mendatangkan pulangan yang lumayan dalam jangka masa panjang.

Apa yang penting, setiap pelabur perlu mempunyai matlamat, ilmu dan objektif pelaburan yang jelas. Pelabur juga perlu sedar akan tahap toleransi risiko yang munasabah bagi dirinya. Ini kerana, ada pelabur yang terlalu obses dengan aktiviti pelaburannya sehingga tidak dapat tidur malam memikirkan soal untung dan rugi. Adakah ini yang anda mahu?

Yang nyata, melabur itu sememangnya baik bagi meningkatkan lagi kekayaan.

Namun, keghairahan untuk meningkatkan kekayaan melalui aktiviti pelaburan sering membuatkan ramai terlupa bahawa hakikat untuk tidak jatuh miskin adalah lebih penting lagi. Ini kerana, ramai yang jatuh miskin setelah mereka cuba untuk melabur.

27 Apr 2006, Utusan Malaysia

Wednesday, April 12, 2006

Kesan krisis kewangan individu

Oleh MOHD NAHAR MOHD ARSHAD


BOLEH dikatakan setiap daripada kita ingin mencapai tahap ‘kebebasan kewangan’ (financial freedom). Namun, ramai pula sering terperangkap dalam kitar kewangan tanpa kesudahan apabila saban bulan, semua duit gaji yang diterima habis digunakan bagi membayar keperluan isi rumah dan menjelaskan hutang-piutang tertunggak.

Keadaan kewangan akan menjadi lebih buruk apabila seseorang mencapai peringkat meminjam (biasanya pinjaman jangka panjang) untuk membayar hutang yang sebelum ini (hutang jangka pendek) - tahap ‘gali lubang, tutup lubang.

Perkara ini bukan sahaja melibatkan individu, tetapi turut melanda syarikat-syarikat dan juga beberapa negara.

Kita sering dengar laporan tentang syarikat-syarikat gergasi yang terjerumus dalam kancah ini dan akhirnya terpaksa diselamatkan.

Tidak kurang juga, ada negara-negara yang terlibat sama dalam keadaan ini seperti yang berlaku ke atas beberapa negara Amerika Latin dan mereka juga terpaksa ‘diselamatkan’.

Beberapa pakar ekonomi melihat keadaan ini terjadi akibat masalah sistem kewangan sekarang yang bertunjangkan sistem riba, wang kertas dan sistem rizab pecahan.

Secara sistemik, keadaan muflis terpaksa wujud akibat dari kepincangan sistem kewangan yang terbina atas tiga dasar tersebut.

Justeru, agensi kewangan pusat biasanya berperanan penting bagi ‘mengawal’ keadaan agar tahap kemuflisan yang berlaku adalah minimum.

Biasanya, apabila sesebuah syarikat gergasi dilanda masalah kewangan, kerajaan selalunya campur tangan dengan segera menjamin syarikat tersebut.

Isu ini pernah hangat di negara kita semasa krisis kewangan pada 1997 hingga 1998.

Begitu juga hakikatnya apabila sesebuah negara hampir muflis.

Badan-badan seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) akan menghulurkan bantuan dan pinjaman negara tersebut akan disusun semula.

Persoalannya, bagaimana pula jika seseorang individu menghadapi masalah ini?

Adakah wajar individu tersebut dibiarkan bankrap?

Mungkin ramai melihat masalah kewangan yang melanda seseorang individu lebih merupakan masalah terpencil. Namun, permasalahan mikro ini sebenarnya boleh membawa masalah makro yang besar sekiranya dibiarkan.

Di negara kita misalnya, isu hutang individu telah menjadi masalah negara.

Isu hutang pelajaran, hutang bank dan ceti haram telah mencapai tahap yang agak serius sehingga agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut menghadapi kesulitan.

Isu harta tergadai kepada Ah Long (paparan Utusan Malaysia tentang restoran mamak tergadai, 6 April 2006) atau bank adalah contoh lain yang berlaku sekarang ini.

Krisis kewangan individu tidak cukup untuk diselesaikan dengan hanya menekankan kepada pengurusan perbelanjaan berhemah kerana itu lebih bersifat pencegahan.

13 Apr. 2006, Utusan Malaysia

Kerajaan kekal pemacu utama ekonomi

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 9 April - Kerajaan dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara sepanjang lima tahun akan datang berikutan ketidakupayaan sektor swasta mengambil alih peranan tersebut.

Pensyarah Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Nahar Mohd. Arshad berkata, keperluan untuk memastikan ekonomi terus berkembang kukuh menyebabkan kerajaan tidak mungkin melupuskan defisit bajet secara keseluruhannya menjelang 2008.

Berikutan itu, kata beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kerajaan mengunjurkan belanjawan negara terus mengalami defisit sehingga 2010, pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

``Berdasarkan pencapaian sekarang, saya tidak fikir sektor swasta secara bersendirian berupaya memacu ekonomi negara dan dalam erti kata lain mereka (swasta) masih perlukan pelaburan kerajaan untuk melaksanakan projek dan memberi mereka kontrak.

``Apatah lagi dalam tempoh lima tahun lagi saya membayangkan ekonomi negara bakal menghadapi pelbagai cabaran terutama dalam isu ketidaktentuan harga minyak serta liberalisasi dalam sektor automotif dan kewangan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai defisit keseluruhan Kerajaan Persekutuan yang dijangka berjumlah RM107.6 bilion atau 3.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tempoh RMK-9.

Defisit itu dijangka berkurangan secara beransur-ansur daripada 3.8 peratus KDNK pada 2005.

Dua tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2005, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mengurangkan kadar defisitnya secara beransur-ansur untuk mencapai sasaran belanjawan berimbang menjelang 2008.

Menjelaskan perkara itu, Mohd. Nahar berkata, pengurangan defisit sememangnya menjadi keutamaan dalam belanjawan tetapi kerajaan perlu mengambil kira faktor-faktor lain.

Ia kerana, tambah beliau, untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, belanjawan yang dibuat juga perlu mengambil kira kadar inflasi.

``Kalau inflasi tidak dikawal ia akan menyebabkan ekonomi lumpuh kerana kuasa membeli semakin hilang,'' ujarnya.

Tokoh ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berkata, kerajaan tidak boleh melupuskan defisit bajet dalam tempoh lima tahun ini kerana Malaysia mempunyai masa yang terhad untuk mencapai status negara maju pada 2020.

Lagipun, katanya, jika defisit bajet dihapuskan ia akan mewujudkan konflik antara rakyat dengan sektor swasta.

Sebab itu, katanya, sebelum mencapai bajet berimbang kerajaan perlu memastikan ekonomi negara dalam keadaan stabil.

``Kalau negara tidak stabil banyak kemungkinan berlaku seperti peningkatan kadar faedah, harga barang naik, pembeli hilang kuasa beli, pelabur tarik diri dan sektor swasta tidak efisien,'' ujarnya.

Sementara itu, seorang penganalisa ekonomi berkata, kerajaan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai belanjawan defisit kerana ia boleh merencatkan ekonomi negara.

``Kalau dibuat secara drastik, saya khuatir pertumbuhan ekonomi akan menguncup, lebih baik dikurangkan secara berperingkat-peringkat,'' katanya.

10 Apr. 2006, Utusan Malaysia