Monday, March 13, 2006

Menilai kesediaan K-ekonomi negara

Oleh: MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD

Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Kenyataan ini semakin penting dalam konteks pembangunan masa kini di mana istilah K-ekonomi (knowledge-based economy) itu sendiri, menjelaskan bagaimana kekayaan dan penciptaan kekayaan dapat dijana dan diwujudkan dengan ilmu.

Hakikat ini nyata dalam konteks pembangunan Malaysia. Indeks kualiti hidup di Malaysia menunjukkan bahawa tahap kualiti pendidikan di negara ini semakin baik di mana dari tahun 1990 sehingga tahun 2002, indeks kualiti pendidikan telah meningkat sebanyak 17.35 peratus.

Ini tidak menghairankan jika kita lihat peruntukan perbelanjaan yang besar disediakan kerajaan untuk bidang pendidikan di mana 20.3 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan bagi tempoh 2002/03 telah diperuntukkan untuk sektor ini.

Komitmen ini memastikan kualiti sumber insan negara terus meningkat. Ini ketara kerana bagi tahun 2002/03, 93 peratus mereka yang layak memasuki sekolah rendah mendapat pendidikan tersebut manakala bagi sekolah menengah, jumlahnya ialah sebanyak 70 peratus.

Peratus kemasukan ke pusat pengajian tinggi juga meningkat ke paras 29 peratus (dari jumlah mereka yang layak mendapatkannya) bagi tahun 2002/03 berbanding hanya tujuh peratus pada tahun 1990/91.

Peruntukan yang besar dalam bidang pendidikan merupakan satu pelaburan bagi menjayakan agenda K-ekonomi negara. Namun, apakah pelaburan ini membawa pulangan yang memuaskan?

Untuk menilai kedudukan Malaysia dalam usahanya menuju ke arah K-ekonomi, terdapat beberapa kriteria yang boleh dijadikan sebagai tanda aras.

Antaranya dengan melihat sejauh manakah kedudukan sumber manusia atau insan menjadi penentu kepada daya kompetitif negara.

Ia dinilai berdasarkan kedudukan ilmu, serta kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki sesebuah negara dan sejauh mana keupayaan ini menjadi penyumbang kepada ekonomi negara tersebut.

Kebanyakan negara maju mempunyai daya saing yang tinggi dalam penghasilan ilmu dan teknologi. Ini dapat dilihat berdasarkan jumlah saintis dan jurutera dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), jumlah eksport teknologi dan pendapatan royalti dan yuran lesen daripada harta intelek yang didaftarkan.

Sebagai perbandingan, jumlah saintis dan jurutera dalam bidang R&D di Jepun, Singapura dan Jerman untuk setiap sejuta penduduk antara tempoh 1996-2002, masing-masing mencatatkan jumlah seramai 5,085, 4,362 dan 3,222 orang. Manakala bagi Malaysia, jumlahnya ialah seramai 294 orang sahaja.

Selain itu, bagi tahun 2003, pendapatan dari hasil royalti dan yuran lesen harta intelek di Jepun mencecah nilai $12,271 juta dolar. Jerman pula memperoleh $4,262 juta dolar manakala negara kita mencatatkan $20 juta dolar.

Malahan, kita sebenarnya membayar sebanyak $782 juta dolar untuk royalti dan yuran lesen bagi tahun yang sama.

Kriteria lain bagi negara bercirikan K-ekonomi; ia berasaskan kepada tahap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang tinggi sebagai salah satu infrastruktur utamanya di samping kadar celik komputer yang tinggi di kalangan masyarakat.

Dinilai dari aspek penggunaan talian jalur lebar, tahap penggunaannya masih lagi rendah di Malaysia, manakala dari sudut jumlah pengguna Internet, Malaysia mempunyai 8.7 juta pengguna Internet bagi tahun 2003.

Yang nyata, kita masih mempunyai ruang yang luas bagi mempertingkatkan keupayaan K-ekonomi negara. Usaha memperkasakan K-ekonomi sangat penting dewasa ini kerana sebahagian besar komposisi ekonomi kita datang dari sektor perkhidmatan yang menyumbang 59.1 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2004. Manakala, sektor perindustrian pula menyumbang sebanyak 33.6 peratus.

Selain itu, sektor pertanian juga sedang dijana dengan usaha kerajaan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi moden dalam bidang ini.

Oleh kerana kecekapan dan daya kompetitif ketiga-tiga sektor ini semakin bergantung dengan tahap teknologi dan keupayaan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, bidang pendidikan peringkat tinggi dilihat akan menjadi asas penting dalam proses menghasilkan sumber insan yang berkualiti dalam usaha membangunkan Malaysia pada masa hadapan.

* Mohd. Nahar Mohd. Arshad ialah Pensyarah, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

4 Jan 06, Utusan Malaysia

No comments: