Saturday, March 18, 2006

Langkah mikro hadapi inflasi

Oleh Mohd Nahar Mohd Arshad

Inflasi atau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang berlaku secara berterusan merupakan suatu masalah ekonomi yang lazim kita dengar.

Secara amnya, kadar inflasi akan meningkat dalam suasana ekonomi yang pesat disebabkan oleh peningkatan jumlah permintaan barangan dan perkhidmatan berbanding jumlah penawaran.

Selain itu, kadar inflasi juga akan melonjak disebabkan oleh peningkatan kos pengeluaran yang biasanya berlaku akibat daripada peningkatan harga komoditi utama.

Selaku isi rumah dan juga pengguna, terdapat beberapa keadaan bagaimana inflasi boleh menjejaskan kita. Pertama, inflasi menjejaskan pendapatan benar sesebuah isi rumah. Ini terutamanya akan lebih dirasai bagi mereka yang berpendapatan tetap. Keadaan ini mengakibatkan kejatuhan kuasa beli pengguna.

Kedua, inflasi juga mengakibatkan susutan nilai simpanan mahupun pelaburan isi rumah. Sebarang simpanan dan pelaburan yang tidak memberikan pulangan keuntungan atau dividen akan susut nilai benarnya disebabkan inflasi.

Justeru, kita perlu memastikan segala simpanan yang dibuat memberikan pulangan yang setimpal di mana kadar keuntungan dan dividennya perlulah lebih tinggi dari kadar inflasi.

Secara mudah, sekiranya sesebuah institusi kewangan memberikan keuntungan atau dividen sebanyak 4 peratus, manakala kadar inflasi berada pada paras 3.5 peratus, maka keuntungan benar yang diperoleh hanyalah sebanyak 0.5 peratus.

Faedah

Seterusnya, inflasi juga menjejaskan kedudukan isi rumah sebagai pemiutang. Hutang yang diberikan sebelum kenaikan kadar inflasi merupakan wang yang tinggi nilai benarnya. Sebaliknya, bayaran hutang yang diterima tetapi selepas berlakunya kenaikan inflasi merupakan wang yang murah atau telah susut nilai benarnya.

Biasanya, apabila kadar inflasi meningkat, kadar faedah semasa juga akan meningkat. Di sini, sekali lagi isi rumah akan terjejas kerana kenaikan kadar faedah semasa bermakna kos pinjaman, terutama bagi pembelian barangan tahan lama seperti kereta, rumah, dan perabot akan turut meningkat. Ini mungkin akan memaksa kita menangguhkan pembelian barangan tersebut.

Menyedari akan semua ini, terdapat beberapa perkara yang dapat kita lakukan bagi menghadapi inflasi. Pertama, oleh kerana inflasi boleh menjejaskan pendapatan benar, terutama bagi mereka yang menerima pendapatan tetap, maka usaha dan ikhtiar perlu dicari untuk menambahkan pendapatan sedia ada.

Para peniaga biasanya dapat mengurangkan impak inflasi dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan. Langkah ini hanya mengatasi inflasi di peringkat mikro (isi rumah) sahaja tetapi akan memberikan kesan yang lebih buruk dari sudut makroekonomi.

Kedua, bagi melindungi nilai simpanan mahupun pelaburan daripada kesan inflasi, simpanan dan pelaburan mestilah diletakkan di tempat yang memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi semasa.

Menyimpan dalam bentuk aset seperti dengan membeli emas dan hartanah adalah antara langkah lain yang dapat diambil.

Langkah seterusnya, berbelanja mengikut keperluan dan tidak mengikut nafsu adalah langkah bijak yang dapat kita laksanakan selaku pengguna.


8 Mac 2006, Utusan Malaysia

No comments: