Friday, September 29, 2006

Luaskan ekonomi Melayu

Oleh MOHD. NAHAR MOHD. ASHAD


ISU kedudukan orang Melayu di tanah air sendiri tidak pernah lekang daripada topik politik, ekonomi dan sosial negara. Perkara ini penting terutamanya dalam konteks kesaksamaan sosial dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Kesaksamaan dalam agihan kekayaan misalnya adalah sangat penting bagi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi di Malaysia. Atas dasar inilah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah dilancarkan pada tahun 1970 dengan menyasarkan penguasaan 30 peratus ekonomi oleh bumiputera.

Hakikatnya, orang Melayu perlu bangkit dalam memperjuangkan jihad ekonomi bangsanya. Peningkatan taraf ekonomi orang Melayu adalah kritikal dalam usaha untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kaum di negara ini. Selain itu, peningkatan taraf ekonomi bangsa Melayu turut dilihat dapat mengurangkan perbezaan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Ini kerana, masih ramai orang Melayu yang tinggal di kawasan luar bandar.

Realitinya, tahap pencapaian orang Melayu telah banyak berubah jika dibandingkan keadaan mereka sebelum DEB. Pun begitu, bangsa lain turut sama berubah dan perubahan mereka adalah lebih pantas. Ini menjadikan mereka lebih mendahului perubahan dan pencapaian orang Melayu.

Apa yang penting sekarang, orang Melayu perlu lebih gigih berusaha untuk memajukan diri dan menggandakan pencapaian sedia ada. Untuk menjadi maju di tanah air sendiri, orang Melayu perlu progresif. Jika bangsa lain bergerak lima langkah, bangsa Melayu perlu bergerak 10 langkah atau lebih ke hadapan. Hanya dengan cara ini kita mampu menyamai dan seterusnya mendahului pencapaian bangsa lain.

Pelbagai peluang dan kesempatan sedia wujud di bumi bertuah ini. Bak kata pepatah, ‘perahu sudah di air dan dayung sudah di tangan’. Hanya niat, iltizam dan usaha berkali ganda diperlukan untuk bangsa Melayu bergerak maju.

Dekad yang mendatang bakal membawa cabaran yang lebih besar. Persaingan bukan sahaja perlu dilihat dari konteks domestik, malah cabaran buat orang Melayu di peringkat global adalah lebih besar lagi.

Untuk itu, orang Melayu perlu berjuang berhabis hati untuk memajukan diri. Orang Melayu perlu mencipta peluang sendiri dan membuka peluang kepada bangsanya untuk sama-sama maju. Jika Melayu masih bergantung kepada peluang yang dicipta oleh orang lain, isu tidak mendapat peluang pekerjaan akibat tidak menguasai bahasa Mandarin misalnya, akan terus menjadi batas halangan kemajuan bangsa.

Orang Melayu juga perlu merebut segala peluang yang ada. Contohnya, potensi orang Melayu untuk maju ke peringkat dunia dalam industri produk halal adalah sangat besar. Yang penting, orang Melayu perlu belajar mengambil risiko dan teknik perniagaan yang terurus bagi mencapai matlamat ini.

Pada masa yang sama, profesional Melayu perlu menabur bakti memajukan generasi baru Melayu. Mereka merupakan model kejayaan bangsa dan bimbingan mereka sangat-sangat diperlukan. Sikap tamak, cemburu dan mementingkan diri sendiri perlu dikikis jika orang Melayu ingin melihat bangsanya maju dan berdaulat di tanah air sendiri.


From Utusan Malaysia on Sept 28, 2006

No comments: