Thursday, September 27, 2012

Bajet 2013: Harapan Rakyat



From Utusan Malaysia, 7 Sept 2012

Oleh DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Pusat Ekonomi Islam dan Kajian Polisi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

BAJET 2013 akan dibentangkan pada 28 September ini. Bajet kali ini berlatar belakangkan antisipasi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang dinanti-nantikan pengundi. Sentimen pengundi yang mengharapkan kedudukan sosioekonomi yang lebih baik dilihat akan terus mendapat keutamaan dalam bajet kali ini. 

Turut melatari bajet kali ini ialah kedudukan kewangan Kerajaan Pusat. Sudah 15 tahun Kerajaan Pusat membentangkan bajet defisit. Adalah penting bagi kerajaan untuk menilai kembali kedudukan pendapatan dan prioriti perbelanjaan operasi dan pembangunan negara. Satu kerangka transformasi belanjawan perlu dirangka ke arah mewujudkan bajet seimbang sebelum 2020.
Kedudukan defisit yang telah berlarutan lebih sedekad tidak boleh dibiarkan. Mengambil kira sensitiviti dan sentimen global yang semakin meningkat terhadap kedudukan defisit dan hutang banyak negara, satu langkah merasionalisasikan bajet perlu dibuat. Langkah ini akan meletakkan asas makroekonomi Malaysia ke arah yang lebih utuh.

Anggaran perbelanjaan operasi negara bagi 2012 ialah 78 peratus berbanding perbelanjaan pembangunan sebanyak 22 peratus daripada RM232.8 bilion jumlah perbelanjaan pusat.
Untuk memacu negara sebagai sebuah negara maju, kita berharap agar dalam Bajet 2013, agihan yang lebih besar akan dibuat untuk perbelanjaan pembangunan manakala perbelanjaan operasi negara dapat dikurangkan. 

Keutamaan untuk meningkatkan kapasiti modal negara memerlukan peruntukan pembangunan yang lebih besar. Kita perlu menyediakan Malaysia dengan prasarana dan infrastruktur yang akan menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kehidupan sosial yang seimbang. 

Meskipun maklum akan kedudukan bajet yang tidak seimbang seperti yang telah dijelaskan, selaku pembayar cukai, kita tetap mengharapkan agar kadar cukai individu dapat dikurangkan atau lebih banyak rebet dapat diberi bagi meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah. 

Pihak syarikat juga mengharapkan agar cukai syarikat dapat dikurangkan, mengambil kira pelaksanaan gaji minimum yang terpaksa dibuat.

Untuk bajet kali ini, kita juga berharap agar kerajaan dapat merangka plan transformasi perumahan negara. Keadaan dan suasana perumahan di Malaysia perlu dinaik taraf selaras dengan taraf sebuah negara maju. Ini termasuklah langkah untuk merasionalisasikan harga rumah yang semakin membebankan terutamanya buat golongan yang baru bekerja. Pemilikan rumah sebagai - Impian 1Malaysia - perlu menjadi keutamaan.

Kita juga mengharapkan soal keselamatan dan integriti sosial negara akan mendapat perhatian yang lebih serius. Isu jenayah dan kebocoran sempadan negara perlu dibendung. Komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah juga perlu terus diperkukuh. 

Penerapan nilai kemasyarakatan yang bersatu-padu dalam memastikan keamanan persekitaran perlu dirangka. Sama ada soal jenayah dan keselamatan merupakan suatu persepsi atau suatu realiti, usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat perlu mengambil kira kedua-dua aspek tersebut. 

Perkara lain yang menjadi harapan ramai ialah supaya kos hidup di Malaysia dapat diperbaiki. Selain soal harga rumah dan harga keperluan asas harian lain, kita menanti dengan penuh harapan akan Dasar Automotif Nasional 2. Yang kita harapkan ialah pasaran automotif negara akan lebih kompetitif dengan rakyat dapat membuat pilihan yang pelbagai pada harga yang lebih rendah. 

Juga kita mengharapkan bajet kali ini akan menjadi asas ke arah transformasi ekonomi hijau buat Malaysia. Bukan sahaja polisi industri yang mesra alam perlu diperkemas, langkah pemuliharaan dan pemeliharaan sumber alam negara perlu diperjitukan. Kita tidak mahu alam semula jadi kita rakus diancam oleh perosak tanpa melihat kepada nilai keasliannya yang tidak ternilai. 

Semoga Malaysiaku terus makmur.

No comments: