Sunday, June 15, 2008

Debat Gaji Minimum

Debat Gaji Minimum
Oleh
Mohd Nahar Mohd Arshad


Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, mereka yang berpendapatan rendah dilihat semakin tersepit. Lantaran, gesaan agar dasar gaji minimum segera dilaksanakan di Malaysia semakin menjadi isu hangat dalam konteks pasaran buruh negara.

Gaji minimum adalah satu dasar yang menetapkan kadar gaji terendah yang mesti dibayar oleh majikan kepada pekerjanya berdasarkan jam, hari, minggu atau bulan.

Amnya, kebanyakan negara-negara maju (tidak semua) mengamalkan dasar gaji minimum. Kada gaji minimum juga berbeza mengikut negara. Sebagai perbandingan, pada Januari 2007, gaji minimum bagi negara-negara bawah Kesatuan Eropah (EU) adalah di antara €92 sebulan bagi Bulgaria sehingga €1,570 sebulan bagi Luxembourg (jumlah pada nilai pariti). Di Australia pula, pekerja kurang mahir mendapat AUD$13.74 sejam atau AUD$549.60 seminggu (AUD$1 = RM3.20).

Nilai gaji minimum adalah berbeza mengikut negara, berdasarkan faktor taraf hidup dan keadaan pekerjaan (jenis industri. bekerja sepenuh masa/sambilan dan sebagainya).

Debat pro dan kontra kepada gaji minimum lazimnya berkisar pada persoalan keadilan sosial terutama kepada para pekerja dan rakyat secara amnya. Ini kerana gaji minimum biasanya diperkenalkan buat mereka di sektor bawahan. Di sinilah debat pro kepada gaji minimum kerap menghujahkan gaji minimum penting buat melindungi pekerja dari eksplotasi majikan.

Selain itu, gaji minimum juga dikira dapat mengurangkan insiden kemiskinan jika kadarnya diletakkan mengatasi garis kemiskinan.

Yang kontra kepada pengenalan gaji minimum pula, lazimnya menghujahkan kesan gaji minimum yang akan meningkatkan kadar pengangguran secara keseluruhan, meskipun kajian banyak menunjukkan jika adapun, kesannya sedikit cuma. Majikan dikatakan akan mengurangkan pengambilan pekerja berikutan kos gaji yang tinggi apabila gaji minimum dilaksanakan.

Hujah di atas adalah signifikan bagi pekerja kurang mahir. Mereka yang professional dan berkemahiran tinggi selalunya mempunyai kuasa pasaran yang kuat untuk menentukan gaji mereka tanpa memerlukan dasar gaji minimum.

Selain itu, hujah kontra terhadap dasar gaji minimum juga menyatakan, pengenalan gaji minimum dikaitkan dengan kegiatan majikan yang akan lebih menekan mereka yang diambil bekerja (menerima gaji minimum) ekoran gaji 'tinggi' yang 'terpaksa' dibayar. Para majikan dikatakan akan memerah keringat pekerja sehabis-habisnya jika gaji minimum dilaksanakan. Ini mungkin berlaku jika kadar gaji minimum tidak selaras dengan kadar gaji efisien.
Isu persaingan global juga menjadi hujah kontra terhadap dasar gaji minimum, terutama di kebanyakan negara membangun. Ekoran pergantungan terhadap pelaburan langsung dari luar (FDI), lontaran hujah kontra mengusulkan kebimbangan kerajaan jika syarikat-syarikat multinasional memindahkan operasi ke negara-negara lain yang murah kos pekerjanya kerana tidak mengamalkan gaji minimum.

Jelas di sini bahawa debat gaji minimum sebenarnya melibatkan tiga pihak utama; pekerja/kesatuan pekerja; para majikan dan kerajaan. Ketiga-tiga pihak mempunyai kekuatan hujah tersendiri.

Selain gaji minimum, terdapat juga dasar subsidi gaji. (wage subsidy), tetapi ini jarang kita dengar. Ia merupakan sistem subsidi yang memberikan insentif kewangan kepada majikan yang layak apabila majikan mengambil kerja kumpulan-kumpulan tertentu (seperti golongan kurang upaya). Dasar ini biasanya diamalkan untuk mempertingkatkan daya saing kumpulan-kumpulan sasaran dalam pasaran buruh. Berikutan kerajaan dikatakan membenarkan kakitangan awam untuk bekerja sambilan, mungkin subsidi gaji boleh diperkenalkan bagi menggalakkan para majikan swasta untuk mengambil kakitangan awsam sebagai pekerja sambilan.

No comments: