Saturday, June 14, 2008

Subsidi Minyak Penting Untuk Malaysia

Perubahan mekanisme pemberian subsidi minyak pada Ogos ini mengundang seribu satu persoalan dan kemungkinan. Apakah kajian yang rapi telah dibuat sebelum cadangan ini hendak dilaksanakan?

Pihak yang paling gundah-gulana pastinya para pengguna di Malaysia. Dalam keadaan kerajaan memberikan subsidi seperti sekarang pun sudah merasakan beban kos yang tinggi, inikan pula apabila harga minyak di stesen pam diletakkan mengikut harga pasaran. Aduh! Betapa keringnya poket kita kelak.

Hakikatnya, kebanyakan negara membangun di seluruh dunia menjaga kepentingan ekonomi dan kebajikan rakyatnya melalui pemberian subsidi minyak. Juga hampir kesemua negara pengeluar minyak di dunia memberikan subsidi bagi minyak dalam negara. Hanya negara-negara maju yang mengamalkan harga minyak secara pasaran di negara masing-masing.

Aneh, pengumuman kerajaan dalam isu subsidi ini dilihat sesuatu yang kritikal dalam keadaan sekarang.

Pemberian subsidi oleh kerajaan negara membangun adalah wajar kerana kedudukan industri yang masih membangun dan memerlukan sokongan. Selain itu, tahap pendapatan rakyat yang rendah juga mewajarkan pemberian subsidi bagi menjaga kebajikan rakyat. Kita tidak mengamalkan sistem gaji minimum secara keseluruhan dan secara komperatifnya, tanpa subsidi, kesengsaraan rakyat terbanyak akan lebih ketara.

Kita khuatir kesan rantaian di mana kenaikan harga barang akan melonjak mendadak. Jika para pengguna dan pengeluar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia rata-rata telah mula berdemonstrasi menuntut kerajaan masing-masing agar lebih peka dengan kebajikan mereka, tidakkah tindakan yang bakal diambil pada Ogos ini akan dilihat seperti menyongsang arus akan tanggungjawab sebuah kerajaan terhadap rakyatnya?

Apakah nasib kita di Malaysia yang secara bandingannya mempunyai pendapatan yang jauh lebih kecil berbanding dengan negara-negara maju dengan sistem baru kelak? Adakah ini masa yang sesuai untuk memperkenalkan mekanisme subsidi baru?

Tindakan tidak popular ini boleh menimbulkan kegawatan ekonomi yang sepatutnya tidak diundang terutama selepas rebut politik masih belum reda.

Persoalan mekanisme pemberian subsidi yang masih kabur juga sesuatu yang serius. Isu pembahagian atau pemberian subsidi secara terpilih boleh menimbulkan pasaran gelap di mana akan ada pihak yang akan membuat duit secara pecah amanah, penyelewengan dan rasuah.

Mungkin mulai sekarang sudah ada mereka yang mula menyimpan stok bagi menghadapi ketidaktentuan apabila mekanisme baru mula dilaksanakan. Ini juga sesuatu yang tidak sihat buat ekonomi negara.

Kita sedar bahawa kerajaan tidak akan mampu berterusan menanggung subsidi dengan keadaan harga minyak yang terus melonjak. Namun kita masih memerlukan subsidi. Mungkin kerajaan boleh terus memberikan subsidi pada jumlah tertentu (katakan kerajaan sanggup memberikan subsidi minyak setakat RM60 bilion), tetapi apabila harga terus melambung, segala peningkatan harga yang melebihi jumlah subsidi maksimum akan diletakkan mengikut harga pasaran. Dengan cara ini mungkin hati rakyat lebih rela dan faham akan kebajiakan mereka tetap terbela.

No comments: