Saturday, June 14, 2008

Gajiku Terbahagi Dua

Pada awalnya kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan mekanisme baru dalampengurusan subsidi minyak pada Ogos depan, namun perlaksanaan awal ke arah mekanisme itu telah dilaksanakan dengan kenaikan 'tsunami' yang lepas, dan proses penyelarasan subsidi dijangka akan berterusan secara berkala. Dan pengumuman kerajaan untuk membuat pembayaran gaji kakitangan awam dua kali sebulan, juga pada Ogos ini turut menimbulkan banyak reaksi.

Andaikan pada Ogos ini berlaku sekali lagi 'tsunami' kenaikan harga minyak berikutan mekanisme yang telah diumumkan. Dan andaikan pada Ogos kakitangan awam mendapat pembayaran gaji sbulan yang terbahagi dua. Terdapat dua kejutan besar dalam urusan kewangan mereka di sini.

Sukar untuk dilihat rasional kaedah pembayaran gaji sebulan terbahagi dua ini akan membantu kakitangan awam untuk lebih cekap dalam mengawal kecairan tunai mereka. Dalam keadaan inflasi yang menekan, mereka yang bergaji rendah (RM2,000 dan ke bawah), pada hakikatnya sudah 'kelemasan' tunai.

Pengenalan pembayaran baru ini mungkin sesuai untuk mereka yang baru bekerja bermula Ogos kerena mereka belum lagi mempunyai pola tertentu pengurusan gaji yang diterima sebelumnya.

Sebaliknya, kakitangan awam yang sudah berpuluh tahun menerima gaji bulanan dan sudah sedia ada dengan pola dan kaedah bajet isi rumah, rombakan besar ini boleh menimbulkan kerumitan.

Menerima gaji sebulan terbahagi dua bermakna kakitangan awam memerlukan sekurang-kurangnya sehari atau dua hari dalam masa sebulan untuk berkejar ke bank untuk urusan gaji berbanding hanya sekali sebelum ini. Ini boleh mengganggu masa bekerja mereka.

Selain itu, dengan harga minyak yang tinggi, urusan gaji (pergi ke bank) pasti melibatkan kos. Dan ini terpaksa dilakukan dua kali dalam sebulan semasa gaji diterima berbanding hanya sekali sebelum ini.

Perlaksanaan bajet untuk pembayaran hutang, utiliti, belanja rumah dan sebagainya, semuanya terpaksa dirombak. Pihak peminjam, syarikat utiliti dan sebagainya perlu juga menyelaraskan cara pembayaran untuk pelanggan selepas ini agar pelarasan yang sesuai dapat diwujudkan. Adalah sukar jika gaji sudah terbahagi dua, namun segala pinjaman, utiliti, sewa dan sebagainya masih menuntut bayaran dalam bentuk bulanan dan bukan dua mingguan.

Keadaan akan lebih perit untuk mereka yang dibebani hutang. Jika hutang seseorang itu melebihi 50 peratus gaji bulanan, dia sudah pasti kekeringan pada pertengahan dan hujung bulan.

Hujahnya di sini ialah, meskipun wang perolehan tetap sama jumlahnya (hanya dibahagi dua untuk pembayaran dua kali), namun kemelut pengurusan akan meningkat. Di samping itu, seseorang perlu mengubah gaya tabiat perbelanjaan. Penyelarasan bajet selalunya sukar bagi kebanyakan orang terutama dalam jangka pendek. Tambahan pula, kita masih bingung dengan kesan 'tsunami' harga yang melanda dan masih tersepit menyesuaikan diri dengannya.

Mungkin juga selepas ini kita akan dapati para peniaga mengubah strategi dengan promosi jualan pertengahan bulan dan hujung bulan. Bagi mereka yang kurang cekap dengan duit, mereka mungkin akan lebih terperangkap dalam kemelut kitar pengurusan tunai selepas ini.

No comments: